BEKAS penyerang utama Negeri Sembilan FC, Shahrel Fikri Fauzi memberi gambaran bahawa perayaaan Aidilfitri tahun ini mungkin tidak semeriah tahun-tahun lalu.

Hal ini kerana, pemain baharu PDRM FC ini lebih memberi perhatian terhadap persediaan pasukannya dalam menghadapi saingan bola sepak Liga Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Fikry yang kini berusia 30 tahun turut menjelaskan, sesi latihan yang bermula agak lewat adalah faktor utama untuk dirinya meletakkan fokus yang lebih terhadap skuad Sang Saka Biru.

Fikri pernah menjadi tunjang pasukan Negeri Sembilan FC pada tahun lalu.

“Saya rasa raya kali ini, saya tidak boleh terlalu beraya. Persiapan di PDRM FC ini memerlukan masa yang lebih kerana kita bermula agak lambat.

“Jadi, semestinya kita akan lebih fokus kepada pasukan. Saya tahu pasukan PDRM ini juga pasukan yang kecil, jadi pemain perlu berkorban sedikit demi melihat kejayaan PDRM FC pada musim ini.

“Bagi saya sendiri, dapat bersama dengan PDRM adalah satu hadiah terbaik juga buat saya kerana saya menunggu lama untuk menerima panggilan daripada mana-mana kelab,” menurut Fikry ketika ditemu bual oleh FLASH SUKAN.

Shahrel Fikri telah menandatangani kontrak bersama PDRM FC pada musim ini.

Sementara itu, Fikry yang sebelum ini berjaya mencipta enam gol bersama pasukan Negeri Sembilan FC telah meletakkan sasaran baharu bersama skuad The Cops, menjelang saingan musim 2024-2025 ini.

Walaupun dia sedar pasukan baharunya dianggap sebagai pasukan underdog, ia tidak memberi sebarang alasan untuk Fikry berhenti daripada mempamerkan prestasi cemerlang.

“Setiap tahun saya akan meletakkan sasaran yang baharu, dan saya harap saya dapat membuat jaringan yang lebih daripada tahun lalu. Semoga bersama PDRM FC, saya dapat hasilkan lebih daripada enam gol,” katanya dengan penuh keyakinan.