PROGRAM pembangunan akar umbi di Negeri Sembilan semakin meriah apabila Negeri Sembilan FC (NSFC) mengumumkan akan menganjurkan kejohanan bola sepak akar umbi Liga Suparimau.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, NSFC akan berkerjasama dengan pihak Maxim Events bagi menganjurkan kejohanan bola sepak akar umbi yang melibatkan peringkat umur bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun.
Kejohanan Liga Suparimau tidaklah asing di Negeri Sembilan apabila ia pernah dianjurkan namun ia sedikit berbeza kali ini kerana ia melalui kerjasama dengan NSFC dan turut disokong oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Menurut Naib Presiden PBNS, Mustapha Nagoor berkata ia adalah satu usaha PBNS untuk menyokong inisiatif dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mewujudkan satu platform yang sesuai untuk pemain
di peringkat akar umbi untuk terus berkembang.
“Kita akan teruskan penganjuran Liga Suparimau selepas ini malah akan diperhebatkan lagi dengan penglibatan NSFC sebagai penggerak utama.
“Pihak PBNS pula akan membantu dari segi penyediaan fasiliti, keperluan kepengadilan dan tenaga kerja serta komited untuk menyokong inisiatif FAM, terutamanya di peringkat akar umbi.
“Kita ingin meningkatkan lagi mutu bola sepak di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan. Kita juga inginkan pemain di peringkat akar umbi merasai suasana pertandingan yang kompetitif kerana ia sangat penting untuk mengukuhkan asas bola sepak anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan media.
“Dengan suasana bola sepak hari ini yang semakin sengit, pembangunan bakat yang berterusan perlu dilakukan.
“Inisiatif yang dijalankan oleh PBNS dan NSFC dalam menggunakan segala peluang yang telah disediakan oleh FAM bakal memperkukuhkan industri bola sepak di negeri ini.” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia PBNS.
Liga Suparimau dijadualkan akan berlangsung bermula Mei ini dan melibatkan penyertaan pasukan dari sekitar Negeri Sembilan dan akan dikendalikan oleh Maxim Events yang diberi pengiktirafan oleh FAM sebagai liga pembangunan akar umbi rasmi.