DALAM kemodenan dan muncul sebagai bandar pintar di negara ini, Putrajaya boleh dianggap masih ketinggalan dalam soal pembangunan insaniah secara holistik berikutan sehingga kini, wilayah yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu, belum mempunyai sekolah sukan.

Perkara itu dibangkitkan Senator Dewan Negara Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, ketika membahas titah diraja dan dikongsi beliau pada laman sosial instagram miliknya “yeophisamudin”.

“Sekarang ini, anak-anak Putrajaya yang berbakat dalam bidang sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah sukan di negeri lain, seperti Selangor dan Negeri Sembilan.

“Oleh itu, saya memohon supaya kerajaan dapat membina sebuah sekolah sukan yang boleh menenpatkan 500 atlet pada satu masa di Putrajaya dan mencadangkan pembinaannya di Presint 14,” ujarnya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya membangkitkan persoalan tersebut kepada Menteri Pendidikan.

 

Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek dalam jawapannya berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dan melakukan usaha berterusan bagi memastikan penyediaan prasarana dan kemudahan asas sukan dapat disediakan di sekolah di seluruh negara.

“Selaras dengan itu, KPM sentiasa membuat perancangan rapi bagi memastikan kemudahan sukan dapat dikemukakan melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) secara berperingkat.

“KPM sedar bahawa penyediaan prasarana dan kemudahan sukan yang mengikut piawai, kondusif dan selamat perlu sentiasa diutamakan.

“Sehubungan itu, KPM bersedia untuk memberi pertimbangan sewajarnya ke atas permohonan menaik taraf prasarana dan bina baharu berdasarkan keadaan fizikal prasarana sedia ada serta kesesuaian tapak yang dicadangkan oleh Jabatan Pendudukan Negeri,” kata Fadhlina menjawab kepada isu dibangkitkan Hisamudin.

Terdahulu, dalam sesi perbahasan 19 Mac lepas, Hisamudin menekankan pentingnya Putrajaya untuk mempunyai sebuah sekolah sukan berikutan pelajar yang berbakat dalam bidang sukan kini ditempatkan di sekolah-sekolah sukan di negeri lain.

Mengikut data perangkaan, Wilayah Persekutuan Putrajaya kini dihuni 73,445 penduduk dan Perbadanan Putrajaya pula merekodkan terdapat sembilan sekolah di wilayah terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan diminta pertimbangkan bekas pemain bola sepak jadi jurulatih peringkat sekolah