PELBAGAI pendapat telah dilontarkan oleh para peminat bola sepak dan juga bekas-bekas pemain, berkaitan isu buli yang berlaku dalam industri bola sepak Malaysia.

Perkara sensasi ini juga telah meraih perhatian daripada pengendali pasukan Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang mempunyai pandangannya tersendiri mengenai gejala buli ini.

Jelas jurulatih berusia 43 tahun itu, dirinya lebih memandang ke sudut positif mengenai kegiatan buli yang diperkatakan sebelum ini. Ia mungkin satu inisiatif pemain senior untuk menguatkan lagi mental dan fizikal para pemain muda.

Akmal fokus ke sudut positif tentang isu buli dalam bola sepak.

Namun, Akmal Rizal juga menegaskan bahawa jika pembulian itu dibuat secara berlebih-lebihan, maka itu waktu yang tepat untuk pihak sepatutnya memandang serius tentang hal tersebut.

“Ada pihak yang menganggap kes ragging dan sebagainya sebagai buli, tapi bagi saya, itu mungkin tindakan yang dilakukan oleh pemain senior untuk pemain muda ini lebih berdikari dan belajar menghadapi satu persaingan yang wujudnya tekanan.

“Jadi, jika seperti ini, itu bukanlah buli bagi saya. Tetapi jika ianya berlebihan, itu perlu kita elakkan.

Akmal Rizal berharap agar isu buli tidak akan berpanjangan lagi.

“Sepanjang saya bermain dalam pasukan dan sepanjang saya mengendali pasukan juga, benda seperti ini sudah tidak berlaku lagi. Jadi saya harap isu ini tidak perlu berpanjangan kerana masing-masing juga mempunyai pendapat tersendiri.

“Yang penting sekali, perlu ada sikap saling hormat menghormati antara senior dan junior dalam pasukan, dan jika itu berlaku, maka saya rasa tiada masalah,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Terdahulu, tular mengenai kes buli yang didedahkan oleh mangsa itu sendiri, Azmeer Yusof selaku bekas pemain Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.

Artikel Berkaitan: Azmeer dedah pernah dibuli ketika zaman awalnya bergelar pemain profesional