SELANGOR FC dijangka akan menganjurkan kejohanan pra musim sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/25.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata kejohanan pra musim itu akan dinamakan sebagai Selangor Asean Challenge.

“Selangor Asean Challenge akan diadakan pada 26 dan 28 April di mana kita akan menjemput pasukan-pasukan dari luar negara untuk datang bermain sebagai persiapan kami untuk saingan Liga Malaysia nanti.

Dr Johan Kamal Hamidon 

“Kita masih lagi dalam proses mendapatkan pengesahan daripada pasukan dari Brunei, Laos, Singapura, Vietnam atau Filipina jadi masih lagi tiada pengesahan daripada mereka,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Dr Johan turut memberitahu bahawa jersi Home Selangor FC akan dilancarkan ketika aksi Selangor Asean Challenge hujung bulan ini.

Selangor FC akan bermain di pentas Asia musim ini apabila berjaya melayakkan diri ke AFC Champions League 2 selepas mendapat tempat kedua di-kedudukan liga musim lalu.