JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi tidak berdepan masalah membenam wakil Singapura, Lion City Sailors kali ini dengan keputusan 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.
JDT tampil dengan kesebelasan yang lebih mengujakan apabila Fernando Forestieri, Heberty Fernandes, Arif Aiman dan Juan Muniz serta tiga rekrut baharu – Jalil Elias, Chico Geraldes dan Murilo Henrique diturunkan.
Harimau Selatan mengawal keseluruhan perlawanan dengan serangan bertali arus yang menarik yang menggembirakan ribuan penyokong JDT yang hadir ke stadium dua hari menjelang Aidilfitri.
Gandingan Fernando Forestieri dan Heberty Fernandes serta Juan Muniz cukup untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Lion City Sailors yang dilihat banyak bertahan di kawasan sendiri sepanjang 45 minit pertama.
Selepas beberapa percubaannya terkena tiang gol, Fernando Forestieri membuka tirai jaringan pada minit ke-40 dengan sepakan penalti selepas Jalil Elias dijatuhkan dan dia mudah memberikan kelebihan awal buat JDT.
Ketika babak pertama hampir tamat, Juan Muniz menggamatkan stadium apabila dia merembat kencang menewaskan Izwan Mahbub untuk kedudukan 2-0 dan memberikan kelebihan lebih selesa.
Bersambung babak kedua, JDT terus menggempur kubu lawan dan Heberty Fernandes menggunakan kekuatan badannya untuk menewaskan tiga pemain pertahanan sebelum merembat dari luar kotak penalti untuk gol ketiga skuad kendalian Hector Bidoglio itu.
Seakan tidak cukup, Juan Muniz meledak gol keempat pada minit ke-63 sekaligus melengkapkan kemenangan bergaya dan kedua juara Liga Super Malaysia itu keatas lawan dari Singapura dalam masa lima hari.
JDT kini akan terbang ke Sepanyol untuk aksi pramusim dan dua kemenangan ini semestinya menjadi pemangkin semangat buat para pemain dan juga modal berbual buat para penyokong ketika berkunjung pada Hari Raya nanti.