RAMADAN tahun ini berlalu pergi, namun setiap kali tiba memasuki bulan pengampunan itu, atlet karate negara Arif Afifuddin Ab Malik akan sentiasa terkenangkan kenakalan dirinya berpuasa di zaman kanak-kanak.

Menurutnya, perjalanannya sebagai seorang atlet mengharungi pelbagai warna dan tidak mudah untuk dirinya menjadi seorang yang berdisiplin.

“Teringat ketika zaman kanak-kanak, saya curi-curi minum air ketika membuat latihan memanjat bukit di kampung, pada bulan puasa. Ketika itu latihan dipantau oleh bapa saya (Ab Malik Abdullah).

Arif Afifuddin ketika memenangi pingat emas acara kumite lelaki B-84kg di Sukan Asia Hangzhou.

“Walaupun bapa saya bukan jurulatih karate, dia memang mementingkan disiplin dalam latihan sejak saya kanak-kanak lagi, dalam masa sama, dia akan memberi sokongan sukan apa yang kami adik beradik minat. Ketika berpuasa juga kami dikerah untuk berlatih melakukan aktiviti memanjat bukit di sekitar taman perumahan di Gelugor, Pulau Pinang,” kata Arif Afifuddin membuka kisah lamanya.

Selain nakal curi-curi minum air ketika berpuasa, Arif juga pernah membuatkan bapanya naik angin apabila membaling mercun telur naga ke arah adiknya.

Sukan Asia Hangzhou menjadi batu loncatan buat Arif Afifuddin memburu kejayaan lebih besar selepas ini.

“Bapa saya memang marah sangat ketika itu, nasib baik tidak ada apa-apa yang memudaratkan dan ketika itu saya berusia enam tahun,” kata Arif Afifuddin yang berusia 25 tahun.

Karateka yang memenangi pingat emas Sukan Asia 2022 dalam acara kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) itu turut berkongsi makanan kegemaran yang sering dimasak ibunya.

Sebagai anak jati Pulau Pinang, dia yang kini berada di ranking ke-44 dunia menggemari hidangan ayam masak kicap hasil air tangan ibunya, dan sering menjadikan restoran nasi kandar sebagai port berbuka dan bersahur di Pulau Pinang.

Arif Afifuddin mempamerkan peningkatan di bawah kendalian jurulatih Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy dari Mesir.

“Selalunya saya akan berbuka di Restoran Nasi Kandar Subaidah, kerana ia berhampiran dengan rumah dan kedua kerana ayam madu mereka,” katanya.

Berbeza pula pula rutinnya sebagai atlet elit negara.

Arif Afiffuddin memberitahu, setiap kali tibanya Ramadan, pakar nutrisi akan memberi pelan pemakanan kepadanya kerana seorang atlet tidak boleh berbuka atau sahur sesuka hati.

“Mereka akan memberitahu apa perlu makan ketika sahur, ketika makan malam lewat. Minum air perlu banyak kerana saya berlatih di waktu petang sampai berbuka.

Berkat didikan disiplin ayahnya Ab Malik Abdullah, Arif Afifuddin mudah menyerap latihan lebih keras di peringkat kebangsaan.

“Biasanya, saya ambil kandungan yang sedikit untuk berbuka kerana selepas itu perlu menyambung semula latihan. Selepas tamat latihan barulah kandungan makanan ditingkatkan kerana tenaga akan digunakan pada petang keesokan harinya,” ujarnya.

Selain itu, dia turut berkongsi rutin diamalkan keluarganya sepanjang Ramadan iaitu mengambil peluang berkumpul satu keluarga, tanpa mengira walau di mana tempatnya.

Lulusan jurusan sains sukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu berkata, meskipun ketika menginap di Majlis Sukan Negara (MSN), keluaganya dari Gelugor, Pulau Pinang akan ke Kuala Lumpur untuk memastikan mereka sekeluarga mendapat peluang berbuka puasa bersama.