KEJOHANAN Liga MBSB Bank Championship (MBC) 2024/25 semakin mendapat tempat dikalangan pemain industri bola sepak tempatan selepas 16 pasukan bakal berentap memburu gelaran kejuaraan.
Kejohanan yang kini memasuki musim kedua penganjuran dengan penaja utama iaitu MBSB Bank menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 12 pasukan bakal berlangsung pada 1 Jun 2024.
Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pertambahan bilangan penyertaan pasukan memperlihatkan keyakinan dan sokongan pemain-pemain industri bola sepak tempatan terhadap MBC 2024/25.
“Secara rasmi 16 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC.
“Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FA, Bunga Raya FC, KL Rovers, UiTM United, Kelantan FC dan Putrajaya Athletic FC,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL 2024 (kali kedua) secara atas talian.
Mesyuarat turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Datuk Kamarudin Hassan, Syed Yazid Syed Omar dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut memaklumkan penarikan diri tiga pasukan saingan musim lalu iaitu SAINS FC, Perlis United FC dan Sarawak United FC.
“Kami menerima penarikan diri tiga pasukan ini kerana mengakui sedang mengalami pelbagai kekangan khususnya dari segi kewangan pasukan,” tegasnya.
Mohd Yusoff berkata, pertandingan bola sepak di peringkat amatur kini juga mendapat perhatian yang serius berbanding sebelum ini.
“Penjenamaan ini bukan sahaja bertujuan untuk keseragaman pertandingan anjuran AFL malah ianya juga diharapkan dapat menarik lebih ramai penaja berpotensi untuk sama-sama memperkasakan lagi sukan ini.
“AFL akan menjenamakan semula nama dan logo pertandingan dengan memperkenalkan Liga A1 Semi Pro sebagai nafas baharu kepada Liga M3, Liga A2 (dahulu dikenali sebagai Liga M4) dan Liga A3 Komuniti (dahulu dikenali sebagai Liga M5),” katanya.