PENEMBAK negara, Gan Chen Jie berkongsi bagaiman dia berkecimbung dalam dunia sukan.
Menurut atlet kelahiran Negeri Sembilan ini, sukan menembak bukanlah pilihan utama, sebaliknya Chen Jie awal membuka langkah sebagai perenang berirama dan lawan pedang.
Minat awalnya kepada renang berirama disebabkan ingin mengikut jejak langkah kakaknya yang merupakan atlet negara dalam acara tersebut.
“Selepas sukan beirama, saya tukar pula ke sukan lawan pedang dan saya ada masuk Sukma Perak pada 2018.
“Namun selepas itu ibu saya ada mengenali staf di MSN Negeri dan mengesyorkan saya untuk menyertai sukan menembak,” katanya dalam satu temubual bersama Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi platform YouTube baru-baru ini.
Bak kata perpatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu apabila kehidupan Chen Jie terus berubah apabila bakatnya dikesan oleh ketua jurulatih menembak kebangsaan tidak lama selepas itu.
“Saya sertai sukan menembak pada 2019 dan juga ada menyertai satu kejohanan tempatan dan menang satu acara.
“Di situ ketua jurulatih kebangsaan menembak nampak kebolehan saya dan beliau minta saya untuk sertai pasukan kebangsaan.
“Masa Sukma 2018, saya berjaya berada dalam kalangan lapan terbaik bagi sukan lawan pedang manakala Sukma 2022 pula saya berjaya mendapat dua emas, satu perak dan satu gangsa bagi sukan menembak,” tambahnya lagi.
Kejayaan itu sekali gus menambahkan lagi motivasi Chen Jie untuk terus melangkah ke hadapan meraih kejayaan.
“Kejayaan terbesar saya ialah menang pingat perak untuk kejohanan Asian Shooting Championship di Jakarta baru-baru ini bagi acara 50 m Rifle Prone Women.
“Bukan itu sahaja, saya juga berjaya mencipta personal best dalam ketiga-tiga acara yang saya sertai,” ujarnya lagi.
Dengan cita-citanya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angelas 2028, Chen Jie juga berharap agar lebih ramai lagi yang berminat menyertai sukan menembak.