PELARI pecut negara, Mohd Azeem Fahmi meneruskan kejayaannya di bumi Amerika Syarikat apabila berjaya meraih pingat emas dalam satu kejohanan di Amerika Syarikat.
Dia berjaya meraih pingat emas bagi acara 4×100 meter (m) dalam Tom Jones Memorial Invitational anjuran Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) yang dilangsungkan di Gainesville, Florida.
Pelari dari Teluk Intan itu merupakan sebahagian daripada kuartet 4x100m yang mewakili Universiti Auburn yang juga dibarisi oleh Favour Ashe, Dario Matau dan Kanyinsola Ajayi.
Larian yang cukup mantap dari kuartet Universiti Auburn cukup untuk mereka menggondol pingat emas menerusi catatan masa 38.64 saat.
Kuartet pelari pecut dari Louisiana State University (LSU) pula terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan catatan masa 38.93 saat manakala kuartet pelari pecut dari University of Kentucky menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan masa 38.96 saat.
Selain itu, Azeem turut mencatatkan masa 10.44 saat dalam acara 100m, meletakkannya di tangga ke-22 daripada 75 peserta lari pecut.
Walaupun tidak dapat layak ke peringkat seterusnya, catatan tersebut menjadikan dirinya pelari kedua terpantas dari Universiti Auburn.
Dengan kemenangan ini, diharapkan ia mampu menjadi semangat dan batu loncatan untuk Azeem untuk memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.