JENTERA serangan baharu Kelantan Darul Naim FC (KDNFC), Valdumar Augusto Te berjaya dibawa masuk sebagai penyerang baharu pasukan, bagi menghangatkan saingan Liga Malaysia 2024/25 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Awang import yang kini berusia 26 tahun itu pernah melalui zaman kegemilangan apabila menyertai skuad kebangsaannya, Guinea-Bissau bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Zon Afrika pada tahun 2019.

Selain itu, perjalanan kariernya telah bermula pada 2014 setelah menyertai pasukan remaja Sporting De Bissau. Beberapa bulan setelah bersama kelab utama Guinea-Bissau itu, Valdumar dibawa menyertai skuad B-18 kelab Portugal, Vitoria Setubal dan menghabiskan dua tahun bersama bola sepak muda negara portugis itu.

Karier profesionalnya pula telah bermula ketika dipinjamkan kepada kelab Liga 2 Portugal, Mafra. Valdumar berjaya mencatatkan lima gol dalam kesemua 23 perlawanan yang diharungi.

Kelantan Darul Naim FC menerima awang import baharu dari Guinea.

Prestasi memberangsangkan yang ditonjolkan telah menarik minat sebuah kelab Primera Liga Portugal, FC Arouca untuk merekrut pemain ini secara pinjaman pada musim 2019/20.

Seterusnya, Valdumar juga pernah menyertai kelab Liga 3 Portugal, Amora FC pada tahun 2020 dan menariknya lagi, kelab dari Liga 3 Jepun, FC Imabari turut melamarnya dan membawa Valdumar ke Liga Jepun.

Untuk musim ini, Valdumar Augusto akan melebarkan sayapnya dan berkhidmat di Kota Bharu bagi memperkuatkan skuad Sang Kijang Emas untuk menghadapi saingan hebat di Liga Malaysia.

Kehadiran Valdumar ke KDN FC pastinya diharap agar mampu mendapatkan keserasian segera bersama rakan sepasukan dan memberi impak positif pada aksi-aksi persahabatan sebelum liga bermula pada 11 Mei ini.