KEDAH Darul Aman (KDA) FC yang dihantui masalah tunggakan gaji pemain telah dikenakan tindakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan mengenakan hukuman denda dan pemotongan tiga mata kepada pasukan tersebut.

Susulan daripada itu, bekas pemain bola sepak Kedah, Faridzuan Che Hamid turut merasa kecewa memandangkan dia pernah menyarung jersi pasukan Hijau Kuning ini.

Menurut Faridzuan,53, antara salah satu faktor yang jelas sehingga menimbulkan isu di kelab kesayangannya adalah sikap tidak realistik oleh pihak pengurusan Kedah sendiri terutama daripada segi bajet.

“Satu sebab sahaja mengapa semua ini berlaku, ini kerana kita tidak melihat keupayaan kita. Pihak atasan sepatutnya berperanan untuk melihat apa yang kita mampu, apa yang kita tidak mampu.

“Kadang-kala mereka hanya mengharapkan penaja dari luar yang mempunyai nama besar, namun mereka akhirnya tidak bagi apa-apa manfaat kepada kita. Sebab itu saya kata, kita sepatutnya kena tengok poket kita dahulu,” kongsinya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

 

Faridzuan beri pandangan tersendiri mengenai tangga gaji pemain di Malaysia.

Biarpun dicalit dengan isu panas ini, Faridzuan yang turut pernah menyarung jersi kebangsaan ini tetap yakin pasukan Kedah yang dikendalikan Nafuzi Zain mampu untuk memperbaiki segala kelemahan untuk mara dengan lebih jauh.

“Saya berharap agar pasukan saya, pasukan Kedah ini akan berjaya juga pada akhirnya. Saya ingin melihat mereka kekal di kedudukan Top 5, namun kalau dapat Top 2, itu bonus,” kata Faridzuan. 

Tidak dinafikan, prestasi skuad Kedah ketika ini disifatkan sebagai ‘bangkit semula dari abu’ sambil harus menanti penuh keputusan penuh akhir daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai status terkini sebelum Liga Malaysia bermula.

Terdahulu, Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata ia selepas pasukan berkenaan didapati gagal mematuhi ketetapan syarat menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji pada 30 Mac lepas.

Sekiranya Kedah gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran pada 5 petang, 20 April, Lesen Kebangsaan pasukan itu boleh ditarik balik sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025.