STATUS Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pelopor bola sepak moden di Malaysia sememangnya tidak dapat disangkal dengan pelbagai perubahan yang meningkatkan standard pasukan dan juga Liga Malaysia.

Sebagai persediaan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25, Harimau Selatan kali ini memilih Alicante, Sepanyol sebagai pusat latihan pramusim sekaligus meningkatkan lagi standard juara Liga Super sepuluh kali berturut-turut itu.

Diterbangkan dengan pesawat dari penaja penerbangan rasmi kelab, para pemain JDT dilihat bergaya dan bersedia untuk menimba pengalaman baharu di Eropah dengan tujuh perlawanan ujian telah diatur sepanjang dua minggu di sana.

Melia Villaitana Football Center menjadi pusat latihan serba lengkap dan canggih yang pernah menjadi pangkalan buat pasukan kebangsaan Russia di bawah kendalian Fabio Capello serta beberapa kelab Inggeris dan Eropah yang lain.

Barisan kejurulatihan yang diketuai Hector Bidoglio sudah pasti mahu menjadikan kem latihan pramusim ini sebagai medan untuk menilai prestasi kesemua pemain serta mencari keserasian antara pemain terutama pemain-pemain baharu yang menyertai kelab pada awal tahun lalu.

Tiga perlawanan pramusim di laman sendiri menentang kelab Thailand dan dua perlawanan menentang wakil Singapura melihatkan JDT sudah melangkah jauh dan dari segi corak permainan dan mutu permainan.

Melia Villaitana Football Center

Tambah menarik, lima graduan Akademi JDT turut dibawa bersama-sama sebagai persediaan untuk mereka melangkah ke skuad utama selepas masing-masing beraksi cemerlang bersama skuad muda dan pembangunan JDT.

Pemain tengah JDT IV, Pavithran Gunalan, pertahanan JDT IV, Ridzwan Rosli, penyerang JDT II, Gabriel Nistelrooy serta dua penjaga gol dari JDT II dan III, Hafiz Azizi Zamri dan Zulhilmi Sharani bakal mendapat pengalaman bernilai bersama skuad senior.

JDT juga akan menggunakan keadaan cuaca yang sejuk dan berangin di Sepanyol sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite yang akan berlangsung dalam cuaca sejuk di Jepun, China dan Korea Selatan.

Skuad JDT menimba pengalaman di Sepanyol

Penglibatan dalam Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 adalah satu pencapaian yang hebat buat JDT dan persediaan di Sepanyol ini sangat ditagih pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor kerana beliau mahu melihat Harimau Selatan mampu bersaing sebagai 18 kelab terbaik Asia.