TIDAK pernah meninggalkan bola sepak, bekas pemain kebangsaan Mohammad Hardi Jaafar mempunyai cita-cita besar mengembalikan kegemilangan Selangor, sebagai kelab gergasi bola sepak negara.
Hardi, 45, menyertai barisan bekas pemain Selangor di Xselangor Soccer School berkata, membawa Gergasi Merah ke tahap tertinggi menerusi pembangunan bakat akar umbi tempatan, menjadi visi dirinya ketika ini.
“Jiwa saya ni, walaupun tidak lagi berada dalam pasukan Selangor, saya tetap dengan bola sepak.
“Saya masih bermain dengan pasukan Xselangor dan kini sibuk dengan akademi Xselangor,” katanya.
Menurutnya, dibarisi bekas pemain Gergasi Merah melatih pemain di akademi terbabit, amalan profesional dan kaedah latihan up to date, diterapkan kepada pemain.
“Kami mahu tingkatkan bakat akar umbi ini dari segi pelbagai aspek… kami mahu terapkan asas yang betul dan kuat, mendisiplinkan mereka dengan pemakanan sihat sejak kecil sebagaimana diamalkan oleh akademi-akademi di luar negara.
“Saya tidak nafikan, kami juga mahu lawan JDT (Johor Darul Ta’zim) di masa akan datang, asyik mereka sahaja menang, kita perlu ada usaha bersaing secara sihat,” kata Hardi, sambil mengakui ketika ini JDT adalah sebuah pasukan dalam liga tempatan yang berada dalam kelas tersendiri.
Hardi, bekas skuad remaja dunia 1997, berada dalam pasukan Selangor yang muncul juara Treble 2009 iaitu Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala FA.
Dalam pada itu, Hardi mengakui sejak bersara dari arena profesional, kehidupannya tidak lagi seperti dahulu, namun bersyukur dengan setiap peluang yang hadir dalam hidupnya.
Malah, sambutan hari raya baru-baru ini, dia hanya merayakan bersama anak lelaki sulungnya yang sudah berusia 21 tahun.
“Hari raya tahun ini, saya raikan bersama anak-anak, tetapi raya pertama bersama anak sulung sahaja sebab dia berkerja di sini (Lembah Klang).
“Tiga lagi anak bersama ibu mereka, tetapi kami tetap meraikan bersama.
“Saya tak balik kampung di Perak lebih awal kerana ibu saya hanya pulang ke sana pada hari raya keempat,” ujar Hardi.
Tambahnya lagi, persiapan hari raya juga tidak seperti dahulu: “Tahun ni, kedudukan kewangan jgua kurang bagus, tiada persiapan besar tapi saya cuba penuhi permintaan anak-anak.
“Semuanya ala kadar mengikut kemampuan, jika saya mampu sediakan persiapan berharga RM50, itu sahaja saya boleh bagi, tak boleh tak bagi kerana saya tak mahu kecewakan anak-anak.”
Menurutnya, apabila tiba hari raya, beliau akan tetap meraikannya dengan gembira sambil menekankan bahawa tidak akan terbawa-bawa dengan masalah kerana hanya akan merosakkan kehidupan.