TERENGGANU FC akan menghadapi permulaan musim Liga Malaysia 2024/25 dalam keadaan tempang apabila penyerang import mereka Ivan Mamut mengalami kecederaan serius.
Menurut media sosial rasmi kelab itu, pemain dari Croatia terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan tendon Achilles pada kaki kirinya semasa menjalani latihan pramusim bersama pasukan.
“Menerusi pemeriksaan MRI didapati ada koyakan pada tendon achilles beliau dan hasil pemeriksaan dari pakar ortopedik menjelaskan Ivan memerlukan tempoh pemulihan antara empat hingga enam minggu.
“Barisan perubatan kelab menyatakan rawatan Platelet-rich-plasma (PRP) akan dilakukan dan rawatan intensif fisioterapi dijalankan bagi mempercepatkan proses penyembuhan pemain ini,” kata kelab menerusi kenyataan dalam media sosial.
Kehilanagan Mamut di awal musim mampu menjejaskan persiapan pasukan Penyu dalam menghadapi perlawanan pembukaan liga seperti Perak FC, Penang FC dan Kelantan Darul Naim FC.
Pemain yang akan menggalas tanggungjawab untuk mengetuai bahagian serangan TFC kini bakal digalas oleh Ismaheel Akinade dan penyerang muda, Syahmi Zamri.
Ivan Mamut akan menyertai dua lagi pemain Terengganu FC yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan iaitu Hakimi Abdullah dan Azam Azmi Murad.
Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC itu sebelum ini mengalami kecederaan ketika beraksi untuk skuad senior Malaysia menentang Oman pada Mac lalu sekaligus terpaksa disisihkan daripada skuad bawah 23 tahun negara yang menyertai Piala Asia B-23 2024.