DEMI melancarkan lagi ekonomi kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC, pemilik majoriti, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mengumumkan kenaikan harga tiket sebanyak RM 5 daripada harga asal sebelum ini.

Setelah mencapai kata sepakat, pihak pengurusan KDA FC juga memutuskan harga tiket baharu itu akan diguna pakai mulai perlawanan pramusim untuk membantu menstabilkan lagi kewangan pasukan Kedah.

Senarai harga tiket baharu yang telah ditetapkan adalah meliputi setiap kategori zon iaitu RM20 bagi Zon Terbuka, RM30 untuk Zon Pavilion dan RM40 Zon Grandstand.

Senarai harga tiket baharu oleh Kedah FC.

Dengan kenaikan harga tersebut, Daud Bakar beranggapan agar semua pihak berkepentingan terutamanya para penyokong dapat membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbang kepada kelab.

“Walaupun amaun yang dinaikkan bukanlah sekali ganda tetapi sedikit sebanyak ianya dapat membantu kelab menstabilkan kos operasi semasa.

“Selain daripada itu, peminat-peminat dialukan untuk membeli dan menyumbang kepada produk kelab melalui sokongan dan usaha bermula pra-musim ini hingga bila-bila.

“Kedah FC juga memperkenalkan Pas Bermusim Sang Kenari bagi musim 2024/25 yang akan ditawarkan dengan harga lebih kompetitif dari harga keseluruhan tiket perlawanan di Stadium Darul Aman,” ujar beliau dalam sesi sidang media di Alor Setar pada Selasa.

Kedah FC turut perkenalkan pas bermusim dan separuh musim buat peminat.

Harga yang ditawarkan adalah RM150 Zon Terbuka, RM250 Zon Pavilion dan RM380 Zon Grandstand, di mana ia hanya melibatkan 12 perlawanan Liga Super sahaja.

Difahamkan juga bahawa pas bermusim ini akan dikeluarkan dengan kadar untuk satu musim dan separuh musim bagi menggalakkan lebih ramai penyokong memilikinya.

“Disebalik membudayakan penyokong dengan pembelian pas bermusim, ianya dapat menjimatkan penyokong dari membeli tiket fizikal semasa hari perlawanan yang mana ianya adalah amalan lazim di kelab-kelab luar negara iaitu tiket fizikal hari perlawanan lebih mahal dari harga pas bermusim,” ujarnya.