TERENGGANU FC (TFC) masih ‘simpan kuku’ kurang sebulan sebelum sepak mula Liga Super apabila hanya menang tipis 1-0 ke atas Penang FC pada aksi persahabatan Agarbomb Performance Cup, malam ini.

Barisan diturunkan Tomislav Steinbruckner bagaimanapun ibarat memberi bayangan kesebelasan utama 11 Mei nanti dengan mempertaruhkan skuad terbaik diketuai kapten, Safawi Rasid.

Penang FC yang dilatih bekas penggempur negara, Akmal Rizal Rakhli, juga tidak ketinggalan menjadikan perlawanan pemanas badan itu sebagai medan menguji keserasian pasukan.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tampak berhati-hati dengan TFC lebih banyak menyerang di sebelah sayap menerusi Safawi dan Akhyar Rasid untuk memburu jaringan.

Keputusan 1-0 telah memberi detik bermakna buat pasukan Terengganu FC.

Peluang terbaik skuad Penyu hanya hadir minit ke-37 namun sepakan percuma menarik pemain import baharu, Marin Pilj, melencong sebelum ditepis keluar penjaga gol lawan.

Penang FC tampil lebih bertenaga selepas rehat apabila bola percubaan berturut-turut Rodrigo Dias dan Rafael Vitor minit ke-49 dikeluarkan di atas garisan gol oleh pemain tuan rumah.

TFC kemudian berjaya menyerap tekanan pihak lawan setelah Ismaheel Akinade mudah menolak masuk bola hantaran lintang bek kiri, Faris Rifqi Rashid pada minit ke-69 untuk gol tunggal perlawanan.

Sementara itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) menepati ramalan mengalahkan TFC II berkesudahan 1-0 memihak kepada pasukan pelawat di mana jaringan tunggal tersebut milik Fayadh Zulkifli pada minit ke 17 separuh masa permainan.