PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), secara rasminya melancarkan Akademi Pengadil Profesional bertujuan untuk melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Akademi Pengadil Profesional yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu terdiri daripada 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita sebagai batch pertama bermula 2023 hingga 2025.
“Bagi batch pertama ini, FAM telah memilih pengadil-pengadil muda dan berpotensi yang berada dalam lingkungan umur 20 hingga 32 tahun. Mereka akan diuji dari aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan dan penguasaan bahasa Inggeris.
“Pengadil-pengadil ini akan mengikuti sembilan modul dan seramai lima pengadil daripada kumpulan ini juga telah dipilih untuk dilatih sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Matlamat terakhir kita bagi batch pertama Akademi ini adalah untuk menyediakan pengadil-pengadil berprestasi tinggi bagi Liga Super Malaysia 2026,” katanya dalam sebuah majlis di Petaling Jaya.
Sementara itu, Sivasundaram turut menyatakan bahawa FAM dan Malaysian Football League (MFL) kini dalam fasa akhir persiapan untuk melaksanakan teknologi VAR dalam saingan Liga Super musim 2024-25 yang bermula 10 Mei.
“Sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim ini. Pelbagai fasa latihan telah dibuat bagi membiasakan pengadil-pengadil dengan kemahiran ini.
“Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara dan seramai 22 pengadil telah ditauliahkan sebagai pengadil VAR manakala 20 penolong pengadil ditauliahkan sebagai AVAR,” jelasnya.
FAM akan meneruskan Akademi Pengadil Profesional ini sebagai projek jangka panjang untuk batch seterusnya pada 2025-2027 dan 2027-2029 serta latihan VAR fasa 2 juga akan dijalankan untuk menambah bilangan pengadil VAR.