KELIBAT pasukan Perlis United FC dan Sarawak United FC, kedua-duanya tidak muncul dalam senarai 16 pasukan yang akan bersaing bagi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/2025 ini.
Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi telah mengesahkan bahawa kedua-dua pasukan itu telah menarik diri daripada saingan yang sebelum ini dipanggil Liga M3, atas dasar kewangan yang tidak stabil.
Namun begitu, keputusan mereka untuk meninggalkan saingan ini telah cuba ‘diselamatkan’ apabila pihak AFL sendiri memujuk agar kedua-dua pasukan itu terus menyertai Liga A1 Semi Pro yang akan bermula tidak lama lagi.
“Kedua-dua pasukan memutuskan untuk tidak meneruskan saingan dalam liga musim ini disebabkan oleh faktor kewangan yang mencukupi.
“Walaupun pihak liga telah berusaha untuk memujuk kedua-dua pasukan untuk bertukar fikiran, usaha tersebut tidak berjaya.
“Kami telah mencuba sehabis baik untuk meyakinkan mereka, tetapi mereka tetap dengan keputusan awal mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Nama dan Logo Pertandingan AFL di Hotel Armada, Petaling Jaya.
Dalam masa yang sama, Wira Yusoff juga menegaskan aspek kepentingan dalam memastikan wakil dari setiap negeri ini dapat peluang untuk bersaing dalam Liga A1 Semi Pro.
“Sememangnya faktor negeri ini mempunyai sifat sentimental tersendiri dan kita juga mahu anak-anak negeri diberi tempat untuk bermain.
“Seperti Perlis, mungkin bola sepak negeri mereka senyap tahun ini, tetapi kita tidak tahu. Kita cuma berharap agar Piala Presiden dan Piala Belia nanti, mereka dapatlah bermain untuk Perlis. Jadi, kelangsungan bola ada pada negeri-negeri itu,” tambah beliau.