MENJELANG saingan Piala Thomas 2024, kem badminton negara menerima tamparan yang hebat apabila Ng Tze Yong terpaksa disisihkan.
Ng Tze Yong sebelum ini merupakan antara 10 pemain yang akan menggalas cabaran negara ke Piala Thomas berikutan kejayaan pembedahan tulang belakang endoskopik.
Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan semalam, pemenang pingat perak Birmingham 2022 itu akan menjalani satu lagi pembedahan setelah didapati mengalami keadaan yang sangat jarang berlaku buat seorang pemain.
Disebabkan ini, Tze Yong tidak akan menyertai skuad Piala Thomas ke China setelah menerima nasihat daripada pakar perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN).
“Malangnya, Tze Yong mengalami keadaan yang sangat jarang berlaku selepas pembedahan yang muncul awal minggu ini.
“Selepas berunding dengan doktor ISN dan juga doktor yang membedahnya, Tze Yong kini akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat untuk memperbaiki simptomnya dan mempercepat proses pemulihannya.
“Akibatnya, Tze Yong perlu menjalani pembedahan dan telah diketepikan daripada skuad Piala Thomas,” kata BAM dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Choong Hon Jian akan mengganti tempat Ng Tze Yong dan akan dibawa terus ke kem berpusat untuk menyertai rakan sepasukan yang lain dengan serta-merta.
Saingan Piala Thomas 2024 akan bermula pada 28 April hingga 5 Mei hadapan di Chengdu, China, dengan pasukan negara diundi di Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.