PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA), Nafuzi Zain, menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai kekuatan skuad kendaliannya menjelang sepak mula musim baharu Liga Super, bulan depan.
Menurut Nafuzi, beliau mengakui sedang tercari-cari kombinasi terbaik termasuk menentukan kesebelasan utama bertemu PDRM pada perlawanan pembukaan pada 11 Mei nanti.
Malah jurulatih muda itu mahu barisan pemain skuad Kenari fokus meningkatkan tahap kecergasan terutama tonggak import baharu, Sony Norde, yang dibelenggu isu kecederaan.
“Hampir semua muka baharu sama ada pemain import atau tempatan masih dalam proses mendapatkan keserasian dan persefahaman selain meningkatkan ‘match fitness’.
“Saya juga sedang mencari kombinasi sesuai, mencuba beberapa percaturan sesuai dengan barisan pemain yang ada.
“Jadi terlalu awal untuk menentukan kesebelasan utama, saya ada lima atau enam perlawanan persahabatan lagi untuk mendapat bayangan itu,” ujarnya.
Nafuzi ditemui pemberita selepas aksi pemanas badan Agarbomb Performance Cup bertemu Terengganu FC (TFC) yang berkesudahan seri 1-1, malam tadi.
Ishameel Akinade membuka jaringan minit ke-48 selepas menyudahkan umpanan Akhyar Rashid sebelum Mohd. Akmal Zahir menanduk masuk bola berpunca kesilapan penjaga gol TFC pada minit ke-58.
Menurut Nafuzi, beliau berpuas hati dengan persembahan dipamerkan skuad KDA pada perlawanan itu terutama tonggak import baharu Sukhrob Nurulloev yang menjadi nadi di sebelah sayap.
“Paling melegakan ialah pemain-pemain tidak mengalami kecederaan beraksi dalam cuaca buruk malah ini aksi pertama bertemu pasukan Liga Super, jadi saya sangat berpuas hati,” tambahnya.