TAHUN keenam menjadi penaja utama kejohanan Badminton Malaysia Masters, Perodua berhasrat melihat pemain negara menaiki podium sebagai juara pada edisi kali ini.
Menjadi kejohanan selepas berakhir pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, Masters Malaysia bertaraf Super500 itu, tidak dihadiri ramai pemain Top 10 dunia, membuka ruang buat pemain negara mencipta nama.
Perkara itu disuarakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Ketika peluang cerah buat pemain beregu lelaki negara memburu kejuaraan ekoran ketiadaan banyak pasangan terbaik dunia, kejohanan yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 Mei di Axiata Arena yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah AS$420,000 (RM2.01 juta), tetap berjaya menarik pemain ternama dunia, terutamanya dalam acara perseorangan lelaki.
Dalam beregu lelaki, hanya gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada dalam Top 10 dunia, menyertai Masters Malaysia kali ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut mengharapkan pemain negara mampu meraih satu gelaran pada edisi kali ini, dan sekurang-kurangnya mara sehingga ke suku akhir.
“PMM akan tetap menyajikan sesuatu yang menarik untuk peminat dan menjadi medan terbaik untuk persiapan pemain negara ke Olimpik.
“Biarpun kejohanan ini berlangsung selepas kelayakan Olimpik ia tetap menarik perhatian pemain terkemuka dalam acara perseorangan seperti pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen (Denmark), Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia), Anders Antonsen (Denmark), juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn kerana penting bagi mereka untuk mengekalkan kedudukan ranking dan undian Olimpik nanti,” katanya.
Justeru Norza ketika ditemui berharap 21 pemain yang mengalas cabaran kali ini akan memberikan yang terbaik demi negara.
Pada edisi 2023 Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir menamatkan kemarau kejuaraan apabila mara ke perlawanan akhir namun tewas kepada pasangan Korea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam pertarungan tiga set 15-21, 24-22, 19-21.
Kali terakhir wakil negara bergelar juara di PMM adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran pada 2017.
Manakala Datuk Lee Chong Wei menjadi juara pada 2016 dalam acara perseorangan lelaki dan Goh V Shem-Lim Khim Wah bergelar juara beregu lelaki pada tahun 2013.
Dalam acara beregu wanita Chin Eei Hui-Wong Pei Tty berjaya menghadiahkan kejuaraan pada 2012.