PENCAPAIAN di Kejohanan Badminton Asia (BAC) minggu lalu, melonjakkan motivasi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terutamanya selepas gandingan itu tersenarai dalam skuad negara pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Pasangan ranking ke-15 dunia itu menganggap, pencapaian itu dilihat hadir tepat pada masanya, ketika mereka diletakkan sandaran untuk menyumbang mata kepada pasukan selaku beregu kedua negara.

Dalam kempen di Chengdu itu, Malaysia berdepan aksi penentu pada perlawanan pembukaan Kumpulan D apabila dijadual menentang Hong Kong, dan kemenangan akan mencerahkan laluan ke pusingan kalah mati.

Bersemangat… skuad Piala Thomas negara membawa harapan besar rakyat Malaysia pada kempen di Chengdu, China.

Sze Fei berkata, tahap keyakinan mereka semakin meningkat selain wujud rasa bertanggungjawab kepada pasukan.

“Sudah tentu saya sangat teruja dan bermotivasi kerana saingan Piala Thomas adalah acara berpasukan. Bagi saya, gelaran naib juara BAC adalah pemangkin untuk saya, harap ia membantu untuk menaikkan keyakinan.

“Selepas BAC, kami akan bermain di Piala Thomas, jadi saya anggap perlu lebih bertanggungjawab bukan sahaja untuk diri sendiri, malah kepada pasukan juga,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani boleh dianggap wajib menghadiahkan dua mata buat skuad negara terutamanya pada perlawanan penting dalam kempen Piala Thomas minggu hadapan.

Pada aksi BAC baru-baru ini, Sze Fei-Nur Izzuddin memulakan langkah positif dengan menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae straight set, mengalahkan gandingan China He Ji Ting-Ren Xiang Yu di pusingan kedua dan mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan di suku akhir.

Selepas itu, mereka mengatasi beregu utama negasara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik straight set di separuh akhir sebelum akur kepada kehebatan pemain nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang di final.

Sze Fei, 27, turut mengakui bahawa pasukan negara berada dalam keadaan terbaik ketika ini, terutamanya dari segi komunikasi selepas lebih seminggu bersama-sama menjalani kem latihan di ABM.

“Bagi saya, kami sebagai rakan sepasukan perlu memberi sokongan antara satu sama lain dan tidak ada sebarang isu antara kami, termasuk dari segi komunikasi. Selain itu, kami juga ada lakukan latihan yang spesifik,” katanya.