PRESIDEN Motorsports Association of Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir mengungkapkan rasa teruja dan gembira dengan kehadiran Johor Motorsports Racing (JMR) dalam industri sukan permotoran di Malaysia.

JMR atau nama penuh pasukan, Triple Eight JMR yang diketuai oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dianggap dapat mengangkat nilai komersial sukan permotoran tanah air, sekali gus menarik lagi ramai peminat dan juga pengikut di arena ini.

Tunku Abdul Rahman yang sudah memulakan perlumbaan GT3 sejak tahun 2019 di Litar Antarabangsa Sepang dan terus melakar kemenangan hebat di persada antarabangsa sewajarnya dijadikan ikon untuk golongan anak muda mengikuti jejak langkah beliau.

Aksi perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad lalu. 

Mokhzani yang ditemui di Litar Antarabangsa Sepang itu turut bersenada jika pelumba daripada pasukan JMR ini dijadikan ikon kerana mereka juga sebuah pasukan yang profesional dan berkemampuan tinggi.

“Mereka mempunyai kebolehan sama ada di domestik mahupun antarabangsa, jadi kombinasi ini adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk kejayaan.

“Saya rasa bangga juga kerana adanya pasukan seperti JMR yang mendapat kedudukan terbaik dan diikuti pasukan yang lain, kita akan terus melihat perkembangan perlumbaan GT3 di Malaysia.

Tunku Abdul Rahman bersama jentera yang dipacu oleh pasukan JMR.

“Kehadiran JMR ini ini juga boleh dijadikan satu ikon sama ada di sini atau rantau asia, kerana mereka juga akan mengambil bahagian dalam perlumbaan berprestij di Belgium dalam masa terdekat ini. Jika mereka berjaya, maka lagi ramailah pengikut yang mahu mengikuti jejak langkah mereka,” kata beliau.

Triple Eight JMR yang diwakili pelumba utamanya, Tunku Abdul Rahman bakal kembali beraksi di saingan perlumbaan CrowdStrike 24 hours of Spa, Belgium pada 26 hingga 30 Jun 2024.

Perlumbaan GT terbesar di dunia itu pastinya akan menghimpunkan wajah-wajah pelumba yang hebat dari serata dunia, dan ini merupakan satu cabaran besar buat pasukan JMR untuk memburu posisi terbaik dalam kejuaraan tersebut.