PERLAWANAN pertunjukan Battle of The Reds antara Manchester Reds dan Liverpool Reds bakal mengembalikan semula nilai nostalgia kepada peminat bola sepak dengan kehadiran bintang-bintang ikonik dan terkenal Liga Perdana Inggeris (EPL).

Acara yang dibawakan oleh AllStar Sports dengan kerjasama World Football Legends dan ACO Media bakal menemui penyokong pada 27 April 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada majlis sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu, kesemua pemain yang mewakili kedua-dua kelab handalan England itu diperkenalkan dengan turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia.

Azman Fahmi ketika ditembual media.

Azman Fahmi, Pengarah Eksekutif Projek bagi Battle of the Reds, AllStar Sports meluahkan rasa teruja atas pengumuman barisan pemain yang mewakili kedua-dua pasukan tersebut, dimana antaranya adalah pemain-pemain ikonik yang terkenal dengan aksi mereka menjaringkan gol dan pernah menjuarai Piala Dunia.

“Kehadiran kebanyakan pemain pada hari ini menambahkan lagi keterujaan yang kian terasa menjelang hari perlawanan. Selain itu, para peminat juga tidak bersabar-sabar sementara menunggu untuk menyaksikan pertemuan dua pasukan dan tiket yang laris terjual menunjukkan sambutan hangat terhadap perlawanan ini,” ujarnya.

Pasukan Manchester Reds menampilkan Dwight Yorke sebagai pengurus kepada barisan pemain David May, Wes Brown, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Paul Rachubka, Russell Beardsmore, Lee Martin, Danny Webber, Mikael Silvestre, Quinton Fortune, Dimitar Berbatov, Erik Nevland, dan Dion Dublin, serta Teddy Sheringham sebagai ketua pasukan.

Dwight Yorke dan Teddy Sheringham mewakili Manchester Reds manakala John Arne Riise mewakili Liverpool Reds

Liverpool Reds pula diterajui oleh David James selaku pengurus kepada barisan pemain yang terdiri daripada Emile Heskey, Glen Johnson, John Arne Riise, Patrik Berger, Vladimir Smicer, Steve McManaman, Jason McAteer, Florent Sinama, John Durnin, David Thompson, Jermaine Pennant, Djibril Cisse, dan Phil Babb, serta Luis Garcia sebagai kapten.

Semua peserta akan menerima piring piuter sebagai tanda penghargaan atas semangat kesukanan mereka dan hadiah-hadiah ini bukan sahaja melambangkan simbol kemenangan perlawanan, tetapi turut melambangkan kecemerlangan yang menjadi dukungan Manchester Reds dan Liverpool Reds.