BARISAN pemain negara yang menggalas cabaran Piala Thomas 2024, bukan yang terkuat.

Menurut perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia berkata, ketiadaan Ng Tze Yong, langsung tidak menjadikan peluang skuad negara lebih mudah untuk merampas semula trofi yang kali terakhir dimenangi pada 1992.

Justeru, Zii Jia mahu skuad negara belajar daripada kesilapan lalu, agar tidak terlalu meletakkan harapan tinggi ketika memulakan cabaran pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, Sabtu ini.

BAM terpaksa mengetepikan Ng Tze Yong yang mengalami kecederaan belakang, bagi mengharungi kempen Piala Thomas di Chengdu, China. |FOTO BAM

“Pasukan kali ini bukan yang terkuat kerana Tze Yong tidak ada. Ya, kita ada Leong Jun Hao (perseorangan lelaki) yang mempamerkan prestasi yang bagus sejak kebelakangan ini tetapi kita pun tiada pilihan.

“Hampir setiap edisi Piala Thomas, kita dalam posisi yang orang tidak letak harapan yang banyak.

“Jadi, saya fikir adalah lebih baik kita fokus untuk berikan yang terbaik kerana kalau letak harapan tinggi, takut memberi tekanan,” kata Zii Jia yang berada di ranking ke-10 dunia, sebelum ke Chengdu bersama skuad negara, pada Rabu.

Memberikan contoh  saingan edisi 2022 di Bangkok, Thailand ketika Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada India di suku akhir, biarpun sebelum itu berjaya menumbangkan pasukan gergasi Jepun 3-2 di peringkat kumpulan.

Skuad Piala Thomas dan Uber negara telah memulakan latihan di venue kejohanan pagi tadi.

“Kita ada satu pengajaran berguna semasa di Thailand (2022), ketika itu kita sangat yakin selepas menang ke atas Jepun (dalam peringkat kumpulan). Namun, kita tidak jangka boleh kalah kepada India secara tiba-tiba.

“Waktu itu semua pemain terkejut dengan kekalahan itu. Jadi, bagi saya lebih baik setiap pemain buat seperti biasa dan tidak letak harapan yang terlalu tinggi.

“Kita harus sedar kalau tengok barisan pemain, kita bukan yang terkuat. Jadi, tidak perlu letak harapan tinggi, bukan kata kita mahu kalah tetapi kita rendahkan harapan kita.

“Lagipun ada pemain yang pertama kali ini beraksi dalam Piala Thomas, jadi lebih baik semua fokus buat yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Ikrar… semua pemain yang menggalas cabaran P”iala Thomas dan Uber berikrar untuk memberikan yang terbaik demi nama negara.

Zii Jia sebelum ini tidak menyertai kem latihan pusat skuad negara kerana sudah menyusun program latihan tersendiri bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong Sabtu ini sebelum berdepan Algeria pada Ahad dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.