KEHADIRAN bekas pemain yang juga legenda import era ‘Double Treble’, Nelson San Martin ke negeri Kedah nyata memberikan semangat tambahan buat Kedah Darul Aman FC (KDA) apabila memenangi aksi persahabatan pramusim menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, Alor Star pada Rabu.
Nelson turut hadir dalam perlawanan itu dengan Milos Gordic menjaringkan dua gol untuk memberikan kemenangan buat Sang Kenari 2-0 dan memberikan keyakinan awal buat para penyokong.
Pemain kelahiran Brazil itu sudah lama memendam hasrat untuk kembali menyambung kariernya bersama pasukan yang pernah menaikkan namanya dan penantian itu berakhir apabila beliau ditawarkan jawatan Pengarah Teknikal.
Ia mencipta lembaran baharu buat KDA dan ketibaan Nelson disambut pihak pengurusan, penyokong dan kaum keluarga kepada Allahyarham Azraai Khor Abdullah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
“Saya merasa cukup teruja dan gembira kerana dapat kembali menyumbang tenaga untuk pasukan yang pernah diwakili sebagai pemain satu ketika dahulu. Alor Setar umpama rumah kedua saya dan apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal, saya akan mencuba sehabis baik dalam bidang baharu ini.
“Sebenarnya saya sudah lama menantikan tugas bersama skuad Kedah dan saya anggap peluang terbaik untuk berbakti kepada pasukan yang pernah dibimbing jurulatih Azraai Khor,” katanya yang tiba di Alor Setar bersama isteri dan anak perempuannya.
Nelson bakal menggalas tugas Pengarah Teknikal untuk sama-sama membantu ketua jurulatih, Nafuzi Zain dalam membentuk skuad yang mantap untuk menghadapi musim Liga Malaysia 2024-25 yang akan bermula pada 10 Mei.
Skuad Hijau Kuning itu akan berhadapan PDRM FC dalam perlawanan pertama mereka di Selayang pada 11 Mei dan akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan menentang Perak FC pada 27 April dan Penang FC pada 30 April.