SENTUHAN pengendali baharu, Zainal Abidin Hassan berjaya membuahkan hasil apabila Penang FC berjaya mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Terengganu FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dua gol menerusi jaringan Hilal El Helwe dan T.Saravanan pada setiap babak cukup untuk mengecewakan skuad kendalian Nafuzi Zain yang berjaya melakar tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Beberapa pertukaran dilakukan Zainal apabila kehilangan ayam tambatan, Casagrande yang menjalani pembedahan dengan Rafael Vitor berjaya mengawal benteng pertahanan Penang dengan baik dan berdisiplin.

Hilal El Helwe membuka tirai jaringan pada minit ke-23 berpunca dari serangan balas apabila dia dengan mudah menewaskan penjaga gol TFC selepas menerima hantaran Faizat Ghazali untuk kedudukan 1-0 hingga tamat babak pertama.

TFC tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan apabila Faisal Halim yang masih segar dengan aksi cemerlang di skuad kebangsaan berjaya menolak masuk hantaran Habib Haroon pada minit ke-48.

Namun begitu keceriaan TFC tidak bertahan lama apabila dua minit selepas itu, Saravanan berjaya menjaringkan gol kedua Penang FC selepas rembatan awal Hilal El Helwe gagal ditepis kemas Suhaimi dan ditanduk masuk Saravanan.

Faisal (kiri) meledak gol tunggal buat TFC.

TFC kembali melancarkan serangan demi serangan untuk mencari gol penyamaan namun sering dinafikan kekentalan pertahanan dan juga kecekapan Hafizul Hakim di gawang pasukan Penang FC.

Kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat dan Penang FC akhirnya berjaya merasai nikmat kemenangan sekaligus keluar dari tangga terbawah liga dibezakan jumlah jaringan dengan Sarawak United.