PELUMBA trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berjaya menempah slot ke Olimpik Paris 2024 bersama-sama dengan dua lagi rakan sepasukannya, Datuk Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri jelas menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menghasilkan prestasi terbaik di pentas berprestij itu.

Tambahan lagi, dengan peluang untuk berlumba di samping mentornya iaitu Azizulhasni, Shah Firdaus meluahkan bahawa dirinya lebih gigih untuk mengejar hasrat bagi mendapatkan tempat terbaik di kejohanan tersebut.

Ini merupakan Olimpik kedua buat Shah Firdaus dan Olimpik Tokyo 2021 adalah acara sulungnya, bagaimanapun dia telah gagal ke peringkat separuh akhir apabila menduduki tempat terakhir dalam saingan suku akhir Olimpik Tokyo.

Shah Firdaus bakal membuat penampilan kedua di sukan Olimpik Paris 2024.

“Alhamdulillah. Olimpik Paris 2024!

“Ini bakal menjadi temasya Olimpik kedua buat saya di mana sekali lagi saya akan berusaha merealisasikan impian dan menggalas tanggungjawab, berlumba di samping ikon dan idola Malaya, Azizulhasni Awang.

“Tahniah juga buat Izzah Izzati, yang telah mencatat sejarah sebagai atlet berbasikal termuda Malaysia yang layak ke pentas Olimpik!

Tiga pelumba trek negara yang berjaya menempah slot ke temasya berprestij tersebut. 

“Besarlah harapan saya dan rakan-rakan agar sokongan dan doa kalian selalu mengiringi kami, terutamanya di fasa-fasa persediaan akhir dan terus ke Paris nanti,” menurut Shah Firdaus dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi akaun Instagramnya.

Sebelum ini, Shah Firdaus pernah berasa terkilan kerana tidak mencapai impian untuk berada di posisi terbaik dalam kejohanan tersebut, namun mungkin Olimpik Paris 2024 ini adalah tempat istimewa buat dia membuktikan kehebatannya.

Jadi, tiga pelumba basikal trek negara ini, Shah Firdaus, Azizulhasni dan Nurul Izzah Izzati yang telah layak secara rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan menghangatkan trek di sana dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.