KEJAYAAN dan kehebatan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2023, Arif Aiman Hanapi sering menjadi buah mulut peminat bola sepak bukan sahaja dalam negara malah turut menular hingga ke luar negara.
Pemain berusia 22 tahun itu mencipta fenomena luar biasa dalam karier bola sepaknya sama ada untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mahupun skuad Harimau Malaya.
Fenomena luar biasa bekas pelatih Akademi JDT itu membuatkan Arif sering diangkat sebagai idola terutama oleh kanak-kanak yang menggemari bola sepak dan perkara ini turut digunakan JDT untuk menaikkan semangat pelatih untuk mengikut jejak langkahnya.
Tinjauan FLASH SUKAN di Stadium Majlis Perbandaran Kulai, venue rasmi pasukan JDT IV yang beraksi di Piala Belia mengesahkan perkara ini dengan wajah Arif Aiman menjadi penghias dinding sebaik melangkah masuk ke stadium.
JDT yang terkenal dengan fasiliti terbaik dari pasukan senior hingga ke akademi bijak menggunakan ruang yang ada di stadium milik mereka itu untuk memangkin semangat para pemain yang secara tidak langsung menanam impian untuk pergi lebih jauh dalam karier.
Mural yang dikemaskini dengan tulisan ‘Home of JDT IV’ itu diletakkan bersebelahan gambar Arif Aiman yang tersenyum bangga memegang trofi Pemain Paling Bernilai 2023 yang dimenanginya pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 baru-baru ini.
Turut disertakan adalah semua kejayaan yang dimenangi Arif tetapi apa yang paling mencuri perhatian adalah kelab tidak lupa menulis asal usul permulaan kariernya dalam bola sepak bersama Harimau Selatan.
Arif memulakan langkahnya di JDT dengan pasukan JDT IV pada 2018 sebelum naik ke setiap pasukan dalam hierarki sehingga menjadi bintang paling bersinar dalam bola sepak tempatan seawal usia 20 tahun.
Peringatan tentang asal usul ini lah yang akan menjadi pemangkin impian pemain terkini kerana bukti kejayaan ada di depan mata dan apa yang perlu dilakukan ada kerja keras ketika latihan dan semangat untuk buktikan mampu bersaing dengan pemain-pemain senior dan import.