FOTO : FB Hakim Danish


PELUMBA
dua roda negara, Hakim Danish Ramli bersyukur dengan pencapaian podium pada perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar  Jerez ,Sepanyol pada Ahad.

Hakim Danish, 17, yang memasuki tahun keduanya dalam saingan berprestij itu mengakui cabaran sengit daripada pelumba lain sebelum mengesahkan status selaku naib juara.

“Syukur Alhamdulillah podium harini di perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup. Saya fight bersama kelompok hadapan dari awal sampai akhir perlumbaan dan di 2 lap terakhir saya push untuk ke hadapan.

“Saya hampir memenangi perlumbaan, tapi dipotong di saat akhir. Saya beza 0.006 saat dari pemenang. Saya gembira dengan keputusan hari ini,” katanya selepas perlumbaan.

Hakim Danish berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua, hanya dibezakan 0.006 saat dari pemenang tuan rumah, Alvaro Carpe, yang mencatatkan masa terpantas 25 minit 40.711 saat untuk menjadi juara. Pelumba Sepanyol lain, Brian Uriarte, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

May be an image of 3 people and text

Hakim Danish (kiri) bersama Alvaro Carpe dan Brian Uriarte yang meraoh podium  Perlumbaan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Hakim Danish juga memberikan jaminan bahawa dirinya akan terus berjuang untuk mencapai kemenangan dalam pusingan seterusnya di Le Mans.

“Saya tahu saya boleh fight untuk menang, jadi untuk pusingan 2 di Le Mans nanti saya akan fight lagi untuk menang. Terima kasih kepada semua sponsor, family saya dan semua yang support saya,” katanya.

Pada musim lalu, Hakim Danish Ramli menamatkan kempen 2023 Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan 70 mata keseluruhan, yang menempatkannya di kedudukan ke-12 dari 26 pelumba.

Pencapaian terbaiknya adalah menamatkan Perlumbaan 2 di Pusingan 1 di Litar Algarve, Portugal, dengan berada di tempat ketiga.

Minggu lalu, Hakim Danish menamatkan Pusingan 1 Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Misano, Itali dengan positif apabila menemui garisan penamat di tempat kesembilan pada Perlumbaan 1 dan ke-15 di Perlumbaan 2.