TWINCITY Marathon yang kini telah memasuki tahun kesembilan dengan penuh bergaya yang menyaksikan penyertaan sangat membanggakan dengan kehadiran lebih 8000 peserta yang berlangsung di Persiaran Flora, Cyberjaya pada Ahad.
Selain penyertaan daripada pelari-pelari tempatan, Twincity Marathon 2024 turut menyaksikan kehadiran daripada peserta dari luar negara termasuk Qatar, Brazil, Kenya, Hong Kong, Singapura, Brunei, United Kingdom, dan banyak lagi.
Pada tahun ini juga, acara larian menawarkan empat kategori yang berbeza: 5 kilometer (KM), 12KM, 21KM, dan 42KM.
Acara ‘full marathon (42KM) bermula seawal 4 pagi, diikuti 21K, 12KM dan 5KM. Selain menyaksikan semua peserta menamatkan larian masing-masing, pihak penganjur dan penaja juga telah menyediakan ‘booth’ makanan, minuman serta barangan sukan, kesihatan, khidmat urut dan sebagainya.
Bagaimanapun, kemeriahan tahun ini tidak akan berhenti di sini sahaja memandangkan Twincity Marathon yang dianjurkan oleh Ten Senses (M) bakal menyambut rekod 10 tahun atau Jubli Emas tahun depan.
Pastinya acara ini antara yang ditunggu-tunggu oleh pelari-pelari tempatan mahupun luar negara pada tahun 2025.