PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin enggan menolak kebarangkalian bahawa terdapat rombakan dalam pengurusan skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara.
Kekalahan berterusan yang menimpa pasukan kendalian Juan Torres Garrido dalam saingan Kumpulan D, Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada tempoh hari telah mencetuskan pelbagai spekulasi yang mendakwa bahawa ketua jurulatih tersebut akan meninggalkan posisi sedia ada.
Namun, Hamidin menjelaskan bahawa pihaknya tidak begitu tergesa-gesa dalam membuat keputusan, dan mereka masih menunggu laporan rasmi daripada Pengarah Teknikal skuad B-23, Scott O’Donell untuk dibawa ke mesyuarat akan datang.
“Semua kemungkinan mengenai rombakan skuad B-23 itu ada. Tetapi kita perlu tunggu dahulu supaya dapat memberi keadilan kepada semua pihak untuk memberikan penjelasan.
“Jurulatih juga ada berjumpa dengan saya dan kita menunggu laporan daripada Scott, yang berada di Qatar sepanjang tempoh perlawanan itu. Mungkin dalam minggu ini, keputusan itu siap.
“Walau bagaimanapun, bagi saya, aksi skuad negara ketika menentang Vietnam dan Kuwait lalu itu cukup baik pada separuh masa pertama, namun mereka tidak dapat kekalkan momentum itu. Tetapi itulah lumrah bola sepak,” kata Hamidin ketika ditemu bual di Shangri-La Kuala Lumpur pada Isnin.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa prestasi skuad B-23 di Piala Asia Qatar juga telah meraih perhatian daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merasakan bahawa menang atau kalah itu adalah suatu adat yang perlu dilalui.
Pihaknya juga enggan mengulas lebih lanjut mengenai hal berkaitan skuad B-23, dan memberi laluan kepada pihak FAM untuk melakukan satu post-mortem demi mengenal pasti kesilapan atau kekurangan pasukan berkenaan.