KUALA Lumpur City FC meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen pramusim selepas bangkit dari ketinggalan untuk mencipta kemenangan 3-1 keatas Kuching City FC dalam aksi pembukaan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang itu menyaksikan KL City ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Pedro Henrique tetapi anak-anak buah Miroslav Kuljanac bangkit menerusi jaringan Jovan Motika, Paulo Josue dan penalti Lazar Sajcic.

Kuljanac yang ditemui dalam sidang media selepas perlawanan berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan pemainnya namun dia perlu berhati-hati bagi memastikan pemainnya cergas bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam tempoh yang singkat.

Miroslav Kuljanac gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya

“Saya berpuas hati dengan cara pemain beraksi hari ini hingga kami meraih kemenangan yang penting ini. Kami mempunyai beberapa peluang pada babak pertama tetapi tidak cukup tajam dan saya juga perlu menggabungkan skuad kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan selepas ini menentang Sabah dalam dua hari,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, pembantu jurulatih Kuching City, Firdaus Morshidi menyuarakan kebimbangan apabila para pemainnya seakan hilang konsentrasi pada babak kedua hingga mengundang kekalahan pertama ini.

“Secara keseluruhan kami tidak gembira dengan kekalahan 3-1 ini. Kami bermain baik pada babak pertama tetapi ianya memeranjatkan kerana pemain hilang konsentrasi pada babak kedua dan kami akan analisis semula perlawanan ini untuk melihat punca sebenar masalah ini,” jelasnya.

Penolong jurulatih Kuching City terkejut pemain hilang punca pada babak kedua (kredit foto – Sabah FC)

Firdaus juga menegaskan bahawa mereka akan menggunakan kejohanan Piala SMJ ini untuk menilai formasi dan keserasian pemain sebelum memulakan kempen Liga Super pada 12 Mei juga menentang Kuala Lumpur City di Cheras.

“Kami menggunakan formasi 3-5-2 dan masih menilai untuk menggunakan formasi ini serta masih mencari keserasian dalam pramusim ini kerana kebanyakan pemain adalah pemain baharu dan kami juga akan gunakan Piala SMJ ini untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan menjelang permulaan liga,” tambahnya.

Kuching City akan berhadapan wakil Singapura, Hougang United pada perlawanan kedua manakala Kuala Lumpur City akan menentang Sabah dalam usaha layak ke final Piala Sabah Maju Jaya.