KEDAH Darul Aman (KDA) FC bersedia menghadapi atmosfera penyokong fanatik Bali United menjelang saingan pembukaan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar pada Jumaat.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak kekal merendah diri namun pada sama bertekad menyajikan aksi terbaik pada perlawanan pertama melawan skuad Tridatu Warriors kendalian Stefano Cugurra.

“Kami datang menikmati permainan dan berimpian melakar keputusan terbaik dan pertemuan dengan Bali cukup penting.

“Kami tahu mereka ada kelebihan sebagai tuan rumah, tambahan pula Kedah adalah pasukan baru di Piala AFC.

“Sudah tentu kami akan ambil kelebihan yang ada dan dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Pamer persembahan 100 peratus dan dapatkan keputusan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Bali, Indonesia.

KDA FC akan membuka tirai kempen Piala AFC bertemu Bali United diikuti Kaya FC (27 Jun) sebelum melengkapkan peringkat kumpulan menentang kelab Kemboja, Visakha FC pada 30 Jun.

Tambah Aidil Shahrin,44 yang pernah membawa Home United muncul naib juara Zon ASEAN Piala AFC tahun 2017 dan juara pada 2018, suasana selepas pandemik Covid-19 yang dialami kelab Indonesia, sama dengan situasi pasukan kendaliannya.

“Sama sahaja. Tiada perbezaan. Pemain hilang momentum, fizikal dan kercergasan. Saya fikir kejohanan ini cukup bagus buat kedua-dua pasukan untuk kembali recovery, dan kembali dalam prestasi terbaik,” katanya lagi.

Sementara itu, pemain pertahanan tengah Mohd Akmal Md Zahir mendedahkan KDA FC telah lama melakukan persiapan rapi bagi kejohanan edisi ke-19 kali ini.

“Kami akan harungi perlawanan pertama dan kita harus tingkatkan mental fizikal untuk hadapi atmosfera penyokong di sini.

“Semua pasukan dalam kumpulan ini adalah kuat dan bukan sahaja Bali. Kami tahu mereka adalah dua kali juara Liga Indonesia.

“Pasukan ada buat analisis kekuatan Bali dan kami akan melakukan yang terbaik serta kutip mata,” ujar pemain pertahanan berusia 28 tahun berasal dari Pendang, Kedah itu.

KDA FC dalam suasana negatif di pertandingan Liga Super musim ini kerana belum pernah meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.

Skuad Pulun Kedah Pulun itu berada di posisi keempat liga dan memungut 14 mata selepas beraksi sembilan permainan.

 

Kedah Darul Aman (MAS)
Bagaimana mereka layak: Naib juara Liga Super Malaysia
Penampilan terdahulu: 2
Pencapaian terbaik : Suku Akhir (2008)
Ketua jurulatih : Aidil Sharin Sahak (Singapura)