KEHADIRAN semula ayam tambatan, Romel Morales dalam kesebelasan Kuala Lumpur City FC nyata memberikan impak apabila dua jaringannya memberikan kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Satu gol pada setiap babak sudah cukup untuk memberi kemenangan kedua buat anak buah Bojan Hodak manakala rentetan kemenangan Sabah tersekat selepas cemerlang pada empat perlawanan awal.
Kekalahan ini menyekat hajat Sabah untuk merapatkan jurang dengan JDT di tangga teratas liga dan kini kekal dengan sembilan mata manakala KL City kini berada di tangga keenam dengan tujuh mata.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan bergaya membenam skuad Petaling Jaya City (PJ CITY) FC dengan keputusan 3-1.
81′ GOL | Sean Selvaraj berjaya “lob” penjaga gol PJ City untuk gol kedua Negeri Sembilan!@nsfc1923 2-1 @pjcityfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/laaVj9im18
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) April 16, 2022
Herold Guolon, Sean Selvaraj dan Matheus Alves masing-masing menyumbang satu jaringan.
PJ City berjaya mendapat gol saguhati menerusi penyerang sensasi, Darren Lok yang menanduk masuk pada minit ke-64 namun gagal mengekang kebangkitan lewat Negeri Sembilan FC (NSFC).
Hasil keputusan itu, NSFC kini kekal dengan rekod tanpa kalah dan melonjak ke tangga keempat dengan lapan mata manakala PJ City pula turun ke tangga keenam dengan tujuh mata.
Dalam aksi di Kuantan, Melaka United FC mendapat tonik baharu apabila berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sri Pahang 2-1 sekaligus mencatat kemenangan sulung skuad kendalian jurulatih interim, Asri Ninggal hasil jaringan Emmanuel Oti dan Hasbullah Abu Bakar.
Skuad Sri Pahang FC nyata masih kecewa selepas tiga perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan meskipun berjaya mendahului lawan seawal minit kelima hasil sepakan penalti Mahmoud Zatara.
Hasil keputusan ini, Sri Pahang kini ditangga ke-10 dengan satu mata manakala Melaka United naik ke tangga kelapan dengan empat mata.
Sementara itu dalam aksi Liga Premier pula, Kelantan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan kemenangan 1-3 ke atas Perak di Ipoh yang menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain.
Di Stadium UiTM, Selangor FC II mengatasi PDRM FC 4-1 manakala dalam pertemuan di Kuala Terengganu, Terengganu FC II mengatasi pasukan jiran, Kelantan United 1-0.