PENJAGA gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan sah meninggalkan skuad Tok Gajah, dan akan kembali semula ke pangkuan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum kempen Liga Malaysia 2024 membuka tirainya.
Izham yang kini mencecah usia 33 tahun telah bersama dengan Sri Pahang sejak musim lalu, dan berjaya mencatatkan enam rekod tanpa bolos daripada 19 perlawanan yang disertai pada musim 2023.
Pengumuman mengenai ketiadaan penjaga gol sensasi itu telah dibuat sendiri menerusi laman rasmi Instagram Sri Pahang FC pada Selasa.
“Sesi latihan terakhir (Selasa) bersama penjaga gol kita, terima kasih Izham Tarmizi. Beliau meninggalkan rasa bertuah dengan kehadiran sebelum ini, serta memori yang tidak terhitung. Semoga terus mengorak langkah gemilang dalam karier,” menurut kenyataan yang dimuat naik.
Izham yang difahamkan bakal kembali bersama skuad JDT adalah untuk menggantikan semula posisi Haziq Nadzli yang telah berhijrah ke Perak FC secara pinjaman untuk satu musim.
Ketiadaan Izham dalam skuad Tok Gajah mungkin akan meninggalkan satu impak atau kesan terhadap strategi permainan Sri Pahang FC, namun kita percaya bahawa pengendalinya, Fandi Ahmad telah menyediakan ramuan lain untuk mengatasi perkara itu.
Hilang seorang, Sri Pahang FC masih mempunyai dua penjaga gol daripada Penang FC, Azfar Arif dan Zarif Irfan Hashimuddin yang akan memastikan benteng terakhir Sri Pahang kekal bersih pada musim 2024/25.