PENYERANG Harimau Malaya Faisal Halim memberitahu bahawa sebarang kemelut yang sedang bergolak melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukanlah masalahnya.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun ini, sebagai pemain dia hanya memberi fokus kepada tugasnya di atas padang dan tidak mencampuri urusan di pihak atasan.

“Bagi saya, saya tak boleh nak cakap apa-apa kerana itu hal pihak atasan. Sebagai pemain, bila diberikan peluang untuk bermain, kita main saja.

Faisal tidak mengambil kisah tentang kemelut yang berlaku dalam barisan kepimpinan FAM.

“Apa yang saya nak cakap, jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon cukup terbaik. Malah, Datuk Hamidin (Presiden FAM) juga sedang menjalankan tugas dengan baik. Sekarang ini, bila kalah, semua benda tidak kena.

“Sebagai pemain, benda ini (isu babitkan FAM) bukanlah satu isu kerana kita hanya bermain untuk negara,” kata Faisal.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

Beberapa isu panas melibatkan FAM sejak kebelakangan ini menjadi perhatian di kalangan penyokong bermula selepas Malaysia gagal melepasi halangan peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia 2023 pada Januari, sebelum ia diteruskan dengan aksi buruk skuad negara sewaktu menentang Oman dua kali baru-baru ini.

Kemarahan penyokong bertambah apabila skuad bawah 23 Malaysia (B-23) gagal mengutip sebarang mata sepanjang beraksi dalam kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar.

Faisal tidak mengambil kisah tentang hal tersebut serta hanya ingin terus memberi fokus buat persiapan seterusnya bersama Harimau Malaya.

Faisal ditemui ketika melancarkan koleksi jenama peribadi pada Rabu

“Saya tak rasa masalah yang sedang berlaku menggangu prestasi kami sebagai pemain.

“Masalah akan datang pada bila-bila masa sahaja tapi cara kita untuk selesaikan masalah ialah dengan memberikan kemenangan kepada pasukan Malaysia, itu yang terbaik,” katanya lagi.

Malaysia akan menghadapi dua perlawanan terakhir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan Jun ini, bertemu dengan pasukan Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun.