SKUAD Sabah FC diikat tanpa jaringan oleh Kuala Lumpur City FC dalam aksi kedua kejohanan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 di Stadium Likas pada Rabu sekali gus menyaksikan tiket ke perlawanan akhir semakin terbuka.
Kedua-dua pasukan kini terikat dengan empat mata dengan KL City mendahului hasil perbezaan jaringan dan kemenangan 1-0 Kuching City ke atas Hougang United menambah debaran siapa yang akan layak ke final pada Ahad.
Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee mengakui ianya adalah perlawanan yang sukar tetapi dia berpuas hati kerana dapat memberikan kesemua pemain minit permainan yang diperlukan.
“Bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu KL adalah pasukan yang cukup baik. Kita mempunyai beberapa pertukaran yang penting untuk para pemain mendapat minit permainan.
“Secara kesuluruhan kita bermain agak baik namun penyudahnya tumpul dimana kita mempunyai peluang yang begitu banyak. Jadi kita akan bangkit berdepan pasukan Kuching City nanti,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali KL City, Miroslav Kuljanac berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya meskipun berasa keletihan tetapi dia tetap positif pasukannya mampu melakukan sesuatu pada perlawanan terakhir menentang Hougang United.
“Satu perlawanan sukar seperti dijangkakan kerana kedua-dua pasukan bermain baik. Kami sedikit keletihan dan saya perlu lakukan beberapa perubahan namun saya gembira selepas tiga perlawanan dalam lima hari dan berjaya mencatat ‘clean sheet‘.
“Untuk perlawanan seterusnya menentang Hougang United, saya perlu lihat keadaan pemain dahulu sebelum menentukan kesebelasan terbaik yang akan diturunkan pada perlawanan terakhir nanti,” jelasnya.
Dalam satu lagi perlawanan pada sebelah petang, Kuching City membuka peluang ke perlawanan akhir selepas berjaya menewaskan Hougang United 1-0 hasil jaringan Tchetche Kipre untuk mengutip tiga mata penuh.
Sabah akan bertemu Kuching City pada perlawanan terakhir manakala KL City berhadapan Hougang United dengan tiga mata bakal menjamin tempat ke final Piala SMJ musim ini.