NEGERI Sembilan FC (NSFC) tewas dalam tiga perlawanan persahabatan pramusim namun ianya tidak menggusarkan ketua jurulatih, Azzmi Aziz yang menganggap kempen pramusim ini adalah medan terbaik buatnya menilai kekuatan dan kelemahan pasukannya.

NSFC kecundang 2-1 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan sebelum dikecewakan Kedah Darul Aman FC 2-0 dan mengalami satu lagi kekalahan kali ini kepada Kelantan Darul Naim FC 1-0 dalam perlawanan persahabatan pramusim minggu lalu.

Bagi Azzmi, perlawanan pramusim ini bertujuan untuk memberikan satu semangat kerjasama bagi membentuk keserasian antara pemain selain memperbaiki kelemahan yang ada sebelum bermula liga.

Azzmi tidak gusar tiga kekalahan berturut-turut dialami Negeri Sembilan FC 

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pemain dalam tiga perlawanan ini. Benar, pemain sedikit keletihan mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh lima hari, namun matlamat kita adalah untuk memantapkan keserasian pemain disamping menguji taktikal pasukan.

“Menentang KL City, saya menurunkan pemain yang berlainan untuk menguatkan keserasian antara mereka manakala bertemu Kedah pula, kita mempunyai empat peluang untuk menjaringkan gol tetapi pasukan lawan pula memanfaatkan kesilapan pemain dan ini antara perkara yang perlu kita perbaiki.

“Permainan kita seimbang ketika bertemu Kelantan Darul Naim. Kita mencipta peluang dan secara keseluruhan, saya gembira dengan persembahan pasukan namun dalam masa yang sama kita perlu bekerja keras untuk memperbaiki dan menaikkan lagi prestasi pasukan,” katanya.

Negeri Sembilan FC dalam fasa pembentukan semula pasukan

Azzmi turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh pemainnya dan berharap mereka akan lebih fokus ketika beraksi kerana mereka juga sedar akan kesilapan dalam permainan dan tidak gembira dengan perkara itu.

Skuad Jang bakal menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan pramusim menentang pasukan Liga A1 Semi Pro, Malaysia University pada 2 Mei sebelum bertemu wakil Singapura, Tanjong Pagar United pada 7 Mei sebelum membuka tirai saingan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim pada 18 Mei.