PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara rasminya mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia bermula musim 2024-25.

Fifamengiktiraf penggunaan teknologi itu secara rasmi pada Isnin lalu menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram.

Pengiktirafan Fifa merupakan satu kebanggaan kepada negara kerana Malaysia merupakan antara 68 negara yang diberi kelulusan untuk penggunaan teknologi VAR.

Delegasi Fifa yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR.

Menurut laporan daripada Bhaveshan, beliau memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan Fifa untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini.

Sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bagi tujuan tersebut.

Pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super.

Ia sekali gus memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025.

Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia telah dimulakan pada April 2023 dengan lawatan delegasi dari Fifa untuk memberi taklimat tentang protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.

Seterusnya FAM telah memulakan latihan pengadil VAR yang bermula pada Jun 2023 hingga April 2024 dengan melalui tiga fasa latihan.

Hasilnya, Fifa telah mentauliahkan seramai 22 Pengadil sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil sebagai AVAR dan sembilan Pengadil sebagai Replay Operator.