PENYERANG Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Jasmir Mehat mengakui bahawa malam ini, dirinya berdepan dengan satu tugas penting dalam pertemuan persahabatan bersama Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pemain kelahiran Melaka ini optimis untuk mempamerkan aksi terbaik dan mahu menabur bakti bersama Sang Kijang Emas dalam persiapan akhir mereka sebelum sepak mula Liga Super Malaysia musim 2024/25, minggu depan.

“Sudah pasti ini bukan perlawanan mudah, Terengganu FC telah mempamerkan corak permainan konsisten pada pra musim kali ini. Mereka mencipta banyak kemenangan dan baru sahaja unggul menjuarai piala beberapa hari lepas.

Jasmir sedia mempamerkan aksi luar biasa dalam pertarungan malam ini.

“Tapi bagi saya, ini satu perlawanan yang bagus. Ujian terbaik buat kami untuk persiapan terakhir. Saya sedar tugas penting yang tergalas di bahu kami (pemain), inshaAllah kami dapat melaksanakan tugasan dengan sebaiknya apabila turun aksi 90 minit ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,”kata Jasmir.

Dalam pada itu, Jasmir juga menyatakan barisan pemain kini kelihatan semakin serasi dan dapat memahami rentak strategi ketua jurulatih baharu mereka, Park Jaehong.

“Taktikal baru yang diterapkan oleh pengendali telah kami terima. Pemain memahami apa kehendak beliau dan pemain juga semakin serasi diantara satu sama lain.

Para jurulatih KDN FC sudah mendapat keserasian bersama pemain-pemain mereka.

“Saya harap kami semua dapat menterjemahkan segala arahan beliau itu ke dalam perlawanan ini sekaligus mendapatkan keputusan terbaik pada perlawanan dengan Terengganu FC,”ujarnya lagi.

Kelantan Darul Naim FC bakal menghadapi saingan keempat mereka untuk pra musim kali ini bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi pembukaan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Temerloh pada 11 Mei nanti.