MALAYSIAN Football League (MFL) akan berhubung dengan Terengganu FC bagi mendapatkan lebih kepastian mengenai insiden menimpa Akhyar Rashid yang dilaporkan diserang dan disamun di Kuala Terengganu pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata dia menghormati kenyataan daripada kelab pemain itu dan berharap Akhyar tidak mengalami kecederaan yang lebih teruk.

“Saya berharap Akhyar tidak mengalami kecederaan teruk. Insiden ini adalah perkara domestik dan saya belum dapat info lanjut dan biarkan TFC berikan kenyataan terlebih dahulu. MFL akan berhubung dengan kelab untuk memahami lebih lanjut apa yang berlaku kepada Akhyar,” katanya ketika ditemui media di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mendoakan Akhyar Rashid semoga cepat sembuh

Terengganu FC telah mengeluarkan kenyataan media pada pagi Jumaat dan menyuarakan rasa dukacita dan kesal atas insiden yang menimpa pemain sayap yang dipinjam dari Johor Darul Ta’zim itu.

Pihak kelab juga telah membuat laporan polis dan berharap semua pihak tidak melakukan spekulasi bagi memastikan siasatan pihak berwajib tidak terganggu selain mendoakan kesembuhan buat Akhyar yang dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Dukacita dimaklumkan, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid telah menjadi mangsa samun yang berlaku sekitar jam 8.30 malam tadi. Insiden ini menyebabkan dia mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan kaki, namun dilaporkan berada di dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Kelab Terengganu FC memandang serius terhadap perkara yang berlaku kepada beliau. Pihak PDRM juga sedang membuat siasatan terhadap perkara yang berlaku. Justeru itu, pihak kelab memohon agar tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi liar terhadap insiden ini bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan pihak berkuasa.

“Kami juga ingin menyeru buat para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh Malaysia agar dapat mendoakan kesembuhan buat Akhyar Rashid,” tulis kenyataan media itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhyar kena enam jahitan, dua suspek ‘hoodie gelap’ guna besi boleh laras

Akhyar menyertai Terengganu FC secara pinjaman dan kini sedang mengikuti kempen pramusim menjelang permulaan aksi Liga Super 2024-25 menentang Perak FC pada 11 Mei 2024.