JURULATIH profesional Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah menafikan kemunculan dirinya bakal mewarnai kancah liga tempatan seperti yang digembar-gemburkan.

Tegasnya, sehingga kini dia tidak mendapat sebarang tawaran dan panggilan daripada mana-mana kelab atau pasukan yang bakal bertanding musim ini.

“Tiada pun, semua ini hanyalah khabar angin bagi mencetuskan sensasi semata-mata. Saya bercakap jujur.

“Belum ada ejen, kelab atau pengurus yang menghubungi saya. Kali terakhir adalah dari pasukan Penang FC pada tahun lepas,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Jumaat.

 

Ujar bekas pengendali UiTM FC musim 2015-2016 itu, yang ada hanyalah terdapat satu pelawaan daripada pihak Hijau Kuning FC (HKFC) bagi menghadiri kursus Kejurulatihan di La Liga, Madrid Sepanyol bermula pada 22 Mei sehingga 3 Jun 2024.

Laporan menyebut, HKFC bakal menghantar ketua jurulatih; Rafdi Rashid dan penolong jurulatih Firdaus Ahmad serta Fisol Razak selaku Penasihat Teknikal HKFC ke bumi Eropah.

Namun begitu, Raja Isa akui terpaksa menolak secara baik kerana dirinya sendiri menerima undangan daripada pihak Guinea untuk aksi playoff Piala AFC B-2024 di Paris.

Hubungan mesra jurulatih kelahiran Ampang dengan Persekutuan Bola Sepak Guinea melalui projek Twin Academy Guinea FA bukan lagi rahsia kerana pernah membentangkan kertas kerja persiapan pasukan kebangsaan itu bagi menghadapi Pusingan Akhir Piala Afrika pada  11 Januari hingga 11 Februari 2024 dan Pra Piala Dunia B-19 2025.

“Saya dijemput khas untuk menyaksikan kelayakan bola sepak lelaki (playoff AFC–CAF) dengan Indonesia terlibat di Paris. Itu sebab utama saya tak dapat turut serta ke Real Madrid bersama delegasi HKFC,” katanya.

Raja Isa (dua, kanan) bersama dengan pihak HKFC dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Selain itu, dia memberitahu dalam dunia sukan, menjaga hubungan dan mengikat perjanjian adalah satu aspek terpenting yang membentuk kejayaan.

“Pada bulan lalu, saya telah menerima undangan yang istimewa daripada Pemilik Kelab Akademik Sepak Bola Merden yang juga Wakil Rakyat Rohman Supriyadi dari Jember, Jawa Tengah, untuk menghadiri program latihan selama 14 hari dan juga perasmian padang turf sintetik.

“Pengalaman ini nanti bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang sukan, tetapi juga memperluaskan persepsi mengenai kepelbagaian dalam komuniti sukan,” ujarnya menganggap rezeki mendapat dua tawaran berbeza secara serentak.

Raja Isa sedang memikirkan sama ada kembali ke Indonesia atau meneruskan karier di Liga Bangladesh.

Mengulas lanjut, Raja Isa yang pernah berkelana sehingga seberang laut mendedahkan eksklusif menerima tawaran melatih kelab Liga Bangladesh serta dua kelab dari Liga Indonesia yang menunjukkan penuh minat.

“Saya masih fasa melakukan penelitian dan akan membuat keputusan sewajarnya kelak. Sekali lagi saya nyatakan buat masa terdekat tiada kelibat saya untuk mengendalikan mana-mana kelab di Liga Malaysia,” katanya bermula sebagai jurulatih untuk pasukan belia Selangor FA sebelum dipanggil untuk menyertai pasukan kejurulatihan Irfan Bakti di Persipura Jayapura, Indonesia pada tahun 2007.

FLASH SUKAN pernah melaporkan Raja Isa selesai membentangkan kertas kerja persiapan pasukan kebangsaan Guinea bagi menghadapi Pusingan Akhir Piala Afrika bermula 11 Januari hingga 11 Februari 2024 dan Pra Piala Dunia B-19 2025.

Raja Isa turut diminta membentang metodologi PS Ball Mastery, modul-modul yang dimulakan oleh Syed Adnan Syed Othman setelah berjaya diperkenalkan di Vietnam dan Bangladesh.

Selama 21 hari Raja Isa berjaya mengendalikan sesi kejurulatihan bersama Pasukan Projek Guinea. Kedatangan Raja Isa mendapat perhatian semua televisyen dan media Guinea serta Afrika.