KETUA Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin meletakkan sasaran untuk meluaskan lagi kolaborasi syarikat Enervive dengan mengetengahkan sukan-sukan lain, selain ragbi.

Enervive yang merupakan penganjur utama Kejohanan Corporate Super Rugby telah menghimpunkan beberapa pasukan korporat dan badan kerajaan untuk menyertai saingan tahunan mereka. Tidak dinafikan, sambutan agak meriah juga telah diraih oleh Enervive daripada penganjuran acara tersebut.

Tidak hanya itu, kejohanan ragbi di peringkat sekolah juga telah diadakan iaitu Super Schools Rugby. Saingan ini telah berjaya mencungkil banyak bakat-bakat generasi muda yang mahu mengembangkan karier mereka dalam arena sukan ragbi.

Daripada beberapa kejohanan ini, dapat dilihat bahawa Shahrizin telah berjaya menaikkan nama serta mempromosikan lagi sukan ragbi di Malaysia dan matlamatnya untuk membawa sukan-sukan lain ke depan adalah sesuatu pekara positif yang wajar diberi sokongan.

Enervive merupakan penganjur kejohanan Super Schools Rugby.

“Jika ada peluang, kita juga mahu untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam industri sukan yang lain. Potensi besar itu ada.

“Selain ragbi, sekarang kita ada juga terlibat dengan sukan lain seperti bola sepak dan frisbee. Sudah tentu kita akan membuka ruang untuk pasukan-pasukan daripada sukan lain untuk menyertai kita.

“Tetapi kerana fasiliti kita lebih kepada sukan luar padang (outdoor), maka sukan-sukan (indoor) kita letak tepi dahulu. Bola jaring mungkin satu sukan yang berpotensi untuk kita bekerjasama buat masa ini. Insya Allah, kalau ada peluang kita boleh lanjutkan cadangan sedemikian,” katanya ketika ditemu bual oleh FLASH SUKAN.

Enervive merupakan satu syarikat agensi sukan dan mempunyai beberapa fasiliti padang turf seperti di Kampung Baru, Seksyen 13 Shah Alam dan Bandar Elmina. Difahamkan bahawa beberapa lagi fasiliti ini akan dibuka di beberapa venue berbeza untuk memudahkan penganjuran sukan-sukan di Malaysia.