JAGUH berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, mengakui teruja menerima berita mengenai peluang pasukan pecut wanita beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, ketua jurulatih berbasikal kebangsaan, John Beasley belum berkongsi dengan atlet berbasikal negara mengenai peluang itu.
“Saya dan kawan-kawan belum diberitahu tapi ini berita yang mengujakan, saya pasti jika saya beritahu mereka (Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan), mereka pasti gembira,” kata Nurul Izzah spontan sebaik perkhabaran itu diajukan kepadanya.
Menurutnya, jika menjadi kenyataan untuk pasukan pecut wanita negara beraksi di Olimpik Paris, Nurul Izzah akan mendapat lebih ramai rakan sparring sebagai persediaan.
“Memang saya gembira jika menjadi kenyataan, kerana kami dapat berlatih dan berjuang bersama-sama,” katanya lagi.
Semalam, pada Majlis Penutup Bengkel Projek Los Angeles (LA) 2028, di Putrajaya, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin memberitahu, pasukan pecut wanita negara berpeluang beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu, sekiranya terdapat mana-mana negara menarik diri.
Perkhabaran itu dikongsinya dengan media selepas menerima taklimat daripada Ketua Jurulatih Berbasikal Kebangsaan, John Beasley dalam bengkel terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN : Pecut berpasukan wanita dalam senarai menunggu ke Olimpik Paris
Ujarnya, Beasley memaklumkan skuad pecut wanita menduduki ranking kesembilan Road to Paris (Olimpik) dan ke-11 dunia dan menjadi pasukan simpanan pertama untuk ke Olimpik Paris.
Tambah Jefri lagi, Beasley urut mencadangkan supaya pasukan pecut wanita ini, dimasukkan ke dalam program Fast Track Road to Gold (RTG) memandangkan mereka menduduki tempat ke-11 dunia.