PERSIAPAN skuad negara berjalan lancar malah pemain sangat bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan bermula pertengahan bulan ini.
Apit kanan Malaysia, Shahalril Aiman Halim berkata, meskipun dia antara pemain muda dan baharu dalam pasukan namun tetap mempamerkan iltizam tinggi dalam usaha merebut tempat dalam 12 pemain terakhir.
Tambah Aiman, dia menyedari persaingan untuk merebut posisi utama selaku perejam, agak sengit terutamanya sukar untuk mencabar pemain pemain senior, tetapi tetap yakin dengan kebolehan yang ada padanya.
“Bagi saya Alhamdullilah untuk kali ini tapi belum tentu dapat 100 peratus (prestasi semasa) sebab banyak masa dan killer (apit kanan) yang lain juga juga tengah berlatih.
“Bagi saya kalau diberikan peluang, saya cuba buat dan berikan yang terbaik untuk Piala Dunia (Sepak Takraw) ini.
“Tekanan itu ada, cuma saya bersaing secara sihat dengan Azlan (Alias). Itu semua atas perancangan jurulatih, kalau dia bagi main, saya akan buat yang terbaik,” katanya.
Jelasnya, menjelang kejohanan itu, dia dan rakan sepasukan terus meningkatkan momentum latihan agar mereka dapat menampilkan prestasi yang lebih menyakinkan di hadapan penyokong setia sepak takraw Malaysia.
Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 18 hingga 26 Mei ini.