SATU sejarah baharu buat skuad ragbi lelaki tujuh sebelah (7s) negara setelah berjaya meraih gelaran juara dalam Kejohanan Ragbi Sea 7s 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura, pada Jumaat.
Kemenangan buat julung kalinya itu telah menyaksikan skuad Bunga Raya 7s bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man berusaha untuk menewaskan Singapura A dan akhirnya keputusan berpihak kepada Malaysia, 14-10 pada aksi final.
Jelas bahawa kejayaan yang dirangkul oleh pasukan ragbi negara telah menjangkaui apa yang disasarkan, sekali gus dapat merawat parut kekecewaan pada saingan musim lalu setelah tumpas di tangan Taiwan.
Sementara itu, skuad ragbi wanita pula telah bergelut untuk berada di di kedudukan terbaik namun mereka hanya mampu membawa pulang pingat gangsa setelah menewaskan Indonesia 38-5 pada perlawanan tempat ketiga dan keempat.
Thailand pula masih kukuh mempertahankan posisinya sebagai juara pasukan ragbi 7s wanita apabila mereka menundukkan pasukan tuan rumah, Singapura dengan keputusan 42-0.
Sebagai rekod, skuad lelaki kebangsaan sebelumnya telah mempamerkan aksi terbaik dalam saingan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan berturut-turut berjaya dicatat.