PELUMBA pasukan Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar berjaya mencatatkan rekod terbaik dalam pusingan kelayakan kedua Kejuaraan MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada Sabtu.

Azroy yang menjuarai perlumbaan kelayakan kedua itu telah merekodkan masa terpantas dalam saingan kategori CP150 iaitu selama 43:442s sahaja.

Tidak dinafikan, perlumbaan kedua disifatkan perlumbaan lebih sengit berbanding perlumbaan pertama apabila setiap pelumba gigih memperbaiki catatan masa dan menyaksikan nama tertera di kedudukan teratas dengan catatan terpantas sering bertukar.

Namun, dengan keazaman yang tinggi, Azroy berjaya menidakkan peluang pelumba-pelumba lain untuk melepasi catatan masa terbaik yang dibuatnya.

Azroy berjaya mendapatkan kedudukan terbaik dalam perlumbaan kelayakan kedua.

“Alhamdulillah, kita bermula dengan sesi kelayakan pertama tadi dalam keadaan separuh kering dan separuh basah, dan kali ini kita beraksi dalam sesi kelayakan kedua yang berada dalam keadaan kering sepenuhnya. Kita agak bergelut bermula dari pagi sebab nak cari pelarasan buat keadaan basah dan kering, dan alhamdulillah semua berkerja degn sempurana.

“Saya sudah memberikan 100 peratus, untuk memastikan ada peningkatan lagi untuk catatan masa itu mungkin agak sukar, bagaimanapun pasukan mekanik akan cuba cari pelarasan yang lebih baik daripada hari ini, dan berharap esok kita dapat berada di kedudukan yang sama seperti hari ini,” ujar Azroy.

Dalam saingan penuh mencabar ini, Md Akid Aziz daripada pasukan CKJ Racing team telah menduduki tempat kedua dengan catatan masa selama 43:480s dan disusuli oleh Kasma Daniel Kasmayudin daripada Sprinta Yamaha Maju Motor yang mencatatkan masa ketiga terpantas iaitu 43:503s.