MALAYSIA terpaksa membayar kos yang mahal, terlepas tiket ke final, apabila mata yang diharapkan gagal direalisasikan ketika skuad Piala Thomas negara tunduk 1-3 kepada China.
Dalam aksi di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone Chengdu, China itu, hanya gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menyumbang mata kepada pasukan.
Langkah sumbang skuad negara bermula dengan kekalahan perseorangan pertama, Lee Zii Jia yang gagal menyaingi Shi Yu Qi, apabila tunduk 19-12, 5-21 dalam masa 35 minit.
Kekalahan itu menyaksikan rekod kemenangan ke atas lawannya itu terus berpanjangan selepas enam pertemuan termasuk hari ini dengan lima kemenangan memihak kepada pemain China itu.
Turun pada perlawanan kedua, Aaron-Wooi Yik mengotakan janji untuk menebus kekalahan kepada pemain Jepun semalam (Jumaat) apabila menyamakan kedudukan ketika menewaskan beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Bagi Aaron, dia sedar pasukan tuan rumah memikul tekanan besar bermain di hadapan penyokong sendiri, dan hanya mahu menampilkan aksi terbaik tanpa memikirkan tekanan dari pasukan lawan.
Jelasnya, bermain di separuh akhir juga adalah satu kejayaan buat pasukan negara apatah lagi turun berhadapan dengan tuan rumah.
“Sebab tiada tekanan kerana sudah sampai semi final pun saya rasa nothing to lose. Kita main di China, lawan China dekat gelanggang mereka saya rasa tekanan kepada mereka lebih banyak.
“Jadi kita hanya janji ada persembahan terbaik bagi 100 peratus itu yang penting,” katanya yang mengatasi Wei Keng-Wang Chang dalam pertarungan tiga set, 15-21, 21-12,21-17.
Malaysia kembali ketinggalan 1-2 selepas pemain perseorangan kedua, Leong Jun Hao tewas kepada pemain tuan rumah, Li Shi Feng,
Jun Hao bermula dengan baik namun gagal meneruskan rentak cemerlang dan terpaksa akur tewas straight set 17-21, 10-21 dalam masa 46 minit.
Tugas genting di galas Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan mereka bertungkus lumus mahu menghidupkan peluang, terpaksa akur dengan kekentalan gandingan He Ji Ting-Ren Xiang Yu apabila tunduk 21-18, 19-21, 12-21.
Kekalahan itu bermakna negara terus kempunan membawa pulang Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992.